Kontraktor rugi RM1.2 juta, terpedaya ‘kelas saham percuma’

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor kerugian RM1.2 juta selepas terpedaya tawaran menyertai 'kelas pelaburan saham percuma' yang diiklankan di Facebook, Oktober tahun lalu.Mangsa, lelaki berusia lingkungan 60-an, dikatakan melayari aplikasi itu sebelum tertarik dengan tawaran berkenaan pada 2 Oktober lalu.Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa kemudian menekan pautan yang disediakan sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp yang kononnya mengendalikan kelas pelaburan."Selepas beberapa sesi kelas diadakan, seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai ‘guru’ menawarkan peluang pelaburan saham terbaharu kepada ahli kumpulan, lengkap dengan jaminan keuntungan serta pampasan sekiranya mengalami kerugian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.Menurutnya, mangsa yang berminat kemudian menerima panggilan WhatsApp daripada seorang wanita yang memintanya memuat turun satu aplikasi pelaburan bagi tujuan pendaftaran dan transaksi.Pada 27 November lalu, mangsa membuat pindahan wang secara berperingkat ke enam akaun berbeza yang didakwa milik syarikat perniagaan."Menjelang Januari, aplikasi berkenaan memaparkan mangsa memperoleh keuntungan berlipat kali ganda, mendorongnya untuk membuat pengeluaran sebanyak RM600,000," katanya.Bagaimanapun, mangsa diminta membayar komisen 10 peratus daripada jumlah pengeluaran sebagai syarat sebelum wang berkenaan dilepaskan. "Selepas bayaran komisen dibuat, mangsa sekali lagi dimaklumkan kononnya wang pengeluaran disekat oleh Bank Negara Malaysia dan perlu menjelaskan cukai sebanyak RM168,000," katanya.Tambah beliau, mangsa yang mula berasa curiga enggan membuat sebarang bayaran lanjut sebelum tampil membuat laporan polis pada 13 Februari lalu.Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.Sehubungan itu, Rusdi menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan melalui portal Semak Mule sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan serta merujuk senarai "Top Ten" sindiket penipuan yang dikeluarkan JSJK."Pelaburan yang sah tidak akan meminta pemindahan wang ke akaun pihak ketiga atau individu tidak dikenali melalui aplikasi sembang."Satu semakan di Portal Semak Mule mampu menyelamatkan wang simpanan seumur hidup," katanya.