Kastam rampas 96,000 tin minuman keras bernilai RM1.873 juta

BUTTERWORTH - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas 96,000 tin bir disyaki tidak berkastam bernilai RM1.873 juta termasuk duti dan cukai dalam serbuan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT).Pengarah Kastam negeri, Datuk Rohaizad Ali berkata, rampasan dilakukan pada 7 Januari lepas selepas pegawai dari Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM Pulau Pinang memeriksa dua kontena."Seorang wanita tempatan berusia 40-an yang juga ejen perkapalan turut ditahan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan pihak terlibat membawa masuk minum keras itu," katanya pada sidang media di stor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal di sini pada Rabu.Beliau berkata, semua minuman keras itu dibawa masuk ke dalam negara bagi edaran tempatan dan dipercayai dijual kepada warga asing kerana minuman terbabit hanya dijual di negara mereka.Rohaizad berkata, minuman keras diklasifikasikan sebagai barang larangan import yang tertakluk di bawah Butiran No.3 Bahagian II, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023."Hasil siasatan lanjut mendapati barangan yang disita ini disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Tenggara dan dipercayai telah diimport oleh sebuah syarikat tempatan tanpa membuat pengikraran manifes kepada pihak kastam," katanya.Rohaizad berkata, sindiket terlibat didapati menggunakan modus operandi sindiket menyeludup minuman keras ke dalam negara tanpa membuat pengikraran manifes pada kontena yang dibawa masuk bagi mengelak dikesan pihak kastam.Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967. - Bernama