KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi jaminan bahawa kes pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang disyaki menghina Islam dengan memijak al-Quran sebelum memuat naik gambar perbuatan itu di media sosial akan diselesaikan dengan segera.Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan yang tidak beradab itu sememangnya perlu ditangani segera, apatah lagi ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan.Beliau turut menasihatkan semua pihak supaya bertenang kerana pihak polis telah mengambil tindakan pantas berhubung kes berkenaan."Pihak kementerian dan kerajaan tidak mengambil mudah perkara seperti ini kerana ia boleh menimbulkan rasa kebencian antara satu sama lain."Setakat ini pihak universiti telah membuat laporan kepada polis dan polis telah mengambil tindakan. Jadi KPT akan mendapatkan laporan daripada polis terlebih dahulu mengenai perkara sebenar yang berlaku," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini pada Rabu.Terdahulu, media melaporkan seorang pelajar UMPSA ditahan polis pada hari ini untuk siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial.Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, penuntut terbabit ditahan awal pagi tadi untuk siasatan lanjut.Sejak Selasa, tular gambar kaki seorang lelaki dewasa memijak al-Quran dan tangkap layar hantaran individu yang didakwa penuntut UMPSA di media sosial sehingga menimbulkan kecaman ramai pihak.Mengulas lanjut, Zambry menegaskan sebarang tindakan lanjut di peringkat KPT akan diperincikan selepas siasatan selesai.Katanya, tindakan lanjut itu juga perlu diambil bagi memastikan kes berkenaan tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak sehingga mengeruhkan suasana.