Azan di langit Caracas

DI TENGAH kesibukan kota Caracas yang dilingkari Banjaran Ávila, berdiri sebuah binaan putih dengan menara menjulang tinggi ke langit — Masjid Sheikh Ibrahim Al-Ibrahim, mercu tanda kehadiran Islam di Venezuela dan simbol keharmonian beragama di bumi Amerika Latin.Masjid ini bukan sekadar rumah ibadah. Ia menjadi pusat pendidikan, kebajikan dan penyatuan komuniti Muslim minoriti yang terus berkembang secara aman dalam masyarakat Venezuela yang majmuk.Kehadiran Islam di Venezuela bermula sejak akhir abad ke-19, hasil migrasi masyarakat Arab dari Lubnan, Syria, Palestin dan Turki.Mereka datang sebagai pedagang kecil dan penjaja, sebelum membina perniagaan, keluarga serta komuniti yang berteraskan nilai agama dan kerja keras.Kini, komuniti Muslim di Venezuela dianggarkan sekitar 100,000 orang, bersamaan kira-kira 0.4 peratus daripada jumlah penduduk negara itu.Walaupun kecil dari segi bilangan, komuniti ini memiliki struktur sosial yang tersusun dengan masjid, pusat pendidikan Islam dan pertubuhan kebajikan di bandar-bandar utama seperti Caracas, Maracaibo dan Valencia.Masjid Ibrahim Al-Ibrahim, terletak di kawasan El Recreo, Caracas, mula dibina pada 1989 dan siap sepenuhnya pada 1993.Ia dibiayai oleh Sheikh Abdulaziz bin Ibrahim Al-Ibrahim seorang hartawan Arab Saudi dan direka oleh arkitek terkenal, Zuhair Fayez.Masjid ini mempunyai menara setinggi kira-kira 113 meter, antara yang tertinggi di benua Amerika, serta kubah setinggi 23 meter, dengan kapasiti sehingga 3,500 jemaah pada satu-satu masa. Ia diiktiraf sebagai masjid kedua terbesar di Amerika Latin.Kedudukannya yang berhampiran gereja Katolik dan sinagog Yahudi menjadikan masjid ini simbol toleransi beragama dan keharmonian masyarakat Venezuela.Setiap kali Ramadan tiba, Masjid Ibrahim Al-Ibrahim menjadi tumpuan utama komuniti Muslim. Aktiviti sepanjang bulan mulia ini merangkumi solat tarawih berjemaah, tadarus al-Quran, kuliah Ramadan, serta iftar jamaie yang menghimpunkan jemaah daripada pelbagai latar belakang.Ramadan juga menjadi medan kebajikan, dengan program pengagihan makanan kepada golongan memerlukan tanpa mengira agama.Kehadiran tetamu bukan Muslim yang ingin memahami ibadah puasa dan nilai kesabaran dalam Islam turut mencerminkan keterbukaan masyarakat setempat terhadap agama ini.Penulis telah tiga kali berkunjung ke Venezuela, dan setiap lawatan memberi gambaran jelas tentang kecekalan serta kematangan komuniti Muslim minoriti di negara itu.Dalam salah satu lawatan, penulis berkesempatan melaksanakan serahan naskhah al-Quran Mushaf Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei dengan cetakan Nasyrul Quran, berserta terjemahan al-Quran Bahasa Sepanyol (Latin) yang turut diterbitkan oleh Nasyrul Quran Malaysia, kepada Imam Masjid Ibrahim Al-Ibrahim, Dr. Chik Kamel Seif yang berasal daripada Syria dan mendapat pendidikan tingginya di Universiti Al-Azhar serta pihak pengurusan masjid.Selain itu, Buku Iqra’ terbitan Darul Fikir yang telah diterjemahkan turut diserahkan untuk kegunaan sekolah dan komuniti Muslim tempatan sebagai bahan asas pembelajaran membaca al-Quran.Serahan bahan pendidikan Islam ini dilaksanakan dengan kerjasama Tuan Shalihin bin Annuar, diplomat Malaysia yang berkhidmat sebagai Kuasa Usaha Sementara (Chargé d’Affaires ad interim) di Kedutaan Besar Malaysia di Caracas, Venezuela.Usahasama ini mencerminkan sokongan Malaysia terhadap usaha dakwah pendidikan dan pengukuhan komuniti Muslim minoriti di rantau Amerika Latin.Walaupun berdepan cabaran ekonomi negara, komuniti Muslim Venezuela kekal aktif dalam kerja kebajikan, pendidikan agama, serta dialog antara agama.Masjid berfungsi bukan sahaja sebagai tempat solat, tetapi juga sebagai ruang membina kepercayaan sosial dan menyumbang kepada keharmonian nasional.Di bumi yang jauh dari dunia Islam tradisional, Islam di Venezuela tampil sebagai agama minoriti yang matang, damai dan berdaya tahan, hidup melalui akhlak, ilmu dan khidmat kepada masyarakat.Di bawah langit Caracas, azan yang berkumandang dari menara Masjid Ibrahim Al-Ibrahim bukan sekadar panggilan solat.Ia adalah suara kewujudan Islam yang hidup, diterima dan menyumbang kepada masyarakat majmuk Venezuela.Kecil bilangannya, besar maknanya, Islam di bumi Venezuela terus menyinari kehidupan dengan rahmah dan persaudaraan. *** Amirul Fahmi ialah Ketua Pegawai Eksekutif di Institut Kajian Dasar (IKD)