PEKAN – Pemuda UMNO Pekan akan menghantar memorandum kepada pihak pengurusan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bagi menuntut tindakan tegas terhadap seorang pelajarnya yang didakwa memuat naik hantaran berunsur penghinaan terhadap Islam, al-Quran dan Nabi Muhammad SAW di media sosial pada Selasa.Ketuanya, Mohd Fakhrul Akhmal Mohamed berkata, memorandum itu bertujuan mendesak pihak universiti mengambil tindakan disiplin tegas terhadap pelajar terlibat bagi memastikan insiden sama tidak berulang.Menurut beliau, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia menyentuh sensitiviti agama dan berlaku ketika umat Islam sedang menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan."Kalau ikut kehendak kami di Pemuda UMNO Pekan, kami tidak mahu pelaku terus berada di Pekan, Bandar Diraja tempat Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menjadi Ketua Agama Islam Negeri."Jadi saya rasa sangat tidak patut seorang yang menghina agama, al-Quran dan Nabi kami sebegitu rupa dibiarkan lagi menjejakkan kaki di tanah ini."Kami akan menyerahkan memorandum rasmi itu kepada pihak UMPSA secepat mungkin," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat UMNO Pekan di sini pada Rabu.Mengulas lanjut, Mohd Fakhrul berkata, penghinaan terhadap Islam bukan perkara baharu, namun insiden kali ini lebih serius kerana berlaku pada bulan Ramadan."Ada yang kata suspek sudah minta maaf atau insaf, itu soal lain. Tetapi persoalannya sekarang, kita tidak mahu semudah itu kamu menghina agama, memijak maruah bangsa dan kepercayaan kami. Kemudian mahu kami lupa begitu sahaja selepas meminta maaf," ujarnya.Beliau yakin semua penganut agama lain seperti Hindu, Kristian dan Buddha di negara ini juga tidak akan bertoleransi dengan perbuatan menghina agama lain yang boleh mengancam keharmonian masyarakat majmuk."Kehebatan Malaysia terletak pada keharmonian sejak merdeka lagi. Saya bimbang negara yang kita bina lebih 50 tahun ini akan runtuh jika generasi baharu terus ‘ringan jari’ menaip perkara yang menghina agama lain di media sosial."Tiada agama yang mengajar penganutnya menghina kepercayaan orang lain dan kita perlu kembali kepada asas hormat-menghormati agar isu penghinaan agama ini tidak terus berulang tanpa penghujung," tegas beliau.Dalam pada itu, Mohd Fakhrul turut menyeru agar ketua agama lain memainkan peranan lebih proaktif dalam menasihati penganut masing-masing demi menjaga sensitiviti masyarakat majmuk."Kalau kita tengok khutbah Jumaat, imam selalu menekankan tanggungjawab kita supaya menjadi umat Islam yang baik, menjaga masyarakat dan negara serta menghormati semua orang, termasuk bukan Islam."Mungkin ketua agama lain seperti Buddha, Kristian, Hindu dan penganut agama lain di Malaysia wajar membuat pesanan yang sama kepada komuniti masing-masing dengan lebih kerap."Sebab saya percaya, tiada agama yang suka kepada perbuatan menghina kepercayaan orang lain," tambahnya.Terdahulu, tindakan pelajar universiti memuat naik hantaran gambar di media sosial yang menyentuh isu 3R iaitu Raja, Agama dan Kaum tular.Susulan itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya telah menahan pemuda itu awal pagi tadi untuk disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.