Polis tahan 4 suspek termasuk remaja 17 tahun terbabit kes curi tabung Masjid Kristal Seksyen 7

SHAH ALAM - Polis menahan empat suspek yang disyaki terbabit dalam kes mencuri tabung Masjid Kristal Seksyen 7, di sini di sekitar Lembah Klang.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D4 dan D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dengan kerjasama Cawangan Pencegahan Jenayah Balai Polis Sri Muda, Seksyen 25.Menurutnya, operasi dijalankan pada 22 dan 24 Februari lalu antara jam 12.30 tengah malam hingga 3 pagi membabitkan serbuan di Seksyen 13, Shah Alam di hadapan Sky Suite KLCC; Arte Subang West dan Pangsapuri Tanjung, Seri Kembangan."Dalam operasi itu, polis menahan empat lelaki warga tempatan berusia 17 hingga 26 tahun. Semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala seorang suspek positif dadah jenis amfetamina dan metamfetamina."Polis turut merampas sebuah kereta Toyota Avanza, empat unit telefon bimbit dan wang tunai RM200,"katanya dalam satu kenyataan pada Rabu..Dalam pada itu, Shazeli turut menasihati semua pengurusan masjid dan surau supaya memastikan sistem kamera litar tertutup (CCTV) sentiasa berfungsi dengan baik serta mengosongkan tabung kutipan secara berkala sebagai langkah pencegahan."Orang ramai juga diminta segera menyalurkan maklumat mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan rumah ibadat bagi memastikan keselamatan serta kesuciannya terus terpelihara," katanya.Terdahulu, media melaporkan polis mengesan sekumpulan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian mencuri tabung masjid berkenaan pada 22 Februari lalu.Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol dilaporkan berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi dengan suspek dipercayai warga tempatan menaiki kenderaan jenis Toyota Avanza berwarna perak.Kejadian itu turut tular di media sosial selepas pihak masjid memuat naik hantaran di laman Threads berhubung kecurian tabung besi yang berlaku sekitar jam 4 pagi.