KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan (MOT) menyokong penuh tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat serta menahan pegawai penguat kuasa yang disyaki terlibat menjadi orang tengah kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah perlindungan haram terhadap kenderaan perdagangan.Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, beliau telah dimaklumkan lebih awal mengenai operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan SPRM itu bagi mempertahankan imej, kredibiliti serta integriti jabatan daripada elemen negatif yang tidak boleh dikompromi.Sebelum ini, katanya, beliau turut menerima pelbagai aduan termasuk daripada pengusaha lori tentang penglibatan anggota penguat kuasa yang membocorkan maklumat operasi kepada pihak luar sebelum tindakan diambil."Perkara ini telah pun berlaku beberapa kali dalam masa beberapa bulan sebelum ini. Saya telah mengadu kepada Ketua Pengarah dan juga Pengarah Penguatkuasa JPJ, justeru mereka telah membuat persiapan bersama SPRM untuk mengambil tindakan."… dan hasil siasatan dan pengintipan, didapati memang ada pihak dalaman yang terlibat, maka tangkapan telah dibuat semalam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) dan Ihya Ramadan Bersama Anak Yatim dan Media di sini pada Rabu.Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad.Anthony berkata, situasi itu juga menyebabkan operasi besar-besaran bagi menangani isu kenderaan komersial membawa muatan berlebihan sebelum ini kurang berkesan kerana pengusaha lori yang degil bertindak mematuhi had muatan pada hari operasi selepas menerima maklumat awal."Saya berharap tindakan yang diambil SPRM itu dapat memberikan amaran keras kepada pihak tidak bertanggungjawab bahawa mereka sedang diperhatikan."Jangan rasa dan jangan ingat bahawa kita tak tahu apa yang anda buat, termasuklah pengusaha-pengusaha lori, yang membayar tonto-tonto ini untuk mendapat maklumat, mereka juga sedang dikenal pasti," katanya.SPRM hari ini menahan reman 13 individu termasuk tiga anggota penguat kuasa disyaki mendalangi kartel tonto berkaitan aktiviti rasuah bagi melindungi pemilik-pemilik lori yang beroperasi di seluruh Semenanjung.Perintah reman selama tiga hari hingga 27 Februari terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi Rabu. - Bernama