Dua pengarah syarikat perabot didakwa gagal bayar cukai jualan lebih RM320,000

GEORGE TOWN – Sebuah syarikat membuat dan menjual perabot serta dua ahli lembaga pengarahnya dihadapkan ke mahkamah atas 58 pertuduhan gagal membayar cukai jualan membabitkan jumlah keseluruhan RM320,337.84.Syarikat tersebut, Seng Cushion Sdn Bhd bersama dua pengarahnya, Ng Eng Chen, 64 dan Lim Paik Eng, 62 didakwa gagal membayar cukai jualan yang genap masa dan kena dibayar bagi tempoh bercukai antara tahun 2019 hingga 2024.Mereka yang juga suami isteri didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Cawangan Penguatkuasaan Pendaftaran dan Pengurusan Hasil, Kompleks Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Seberang Jaya.Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan berasingan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Irwan Suainbon di Mahkamah Sesyen Jenayah 2 pada Khamis.Mengikut pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 26(5) Akta Cukai Jualan 2018 [Akta 806] kerana gagal menjelaskan cukai jualan berjumlah RM228,812.83 serta penalti RM91,525.01 kepada Ketua Pengarah Kastam dalam tempoh ditetapkan.Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 26(9) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa JKDM, S Bakialetchumy.Kes ditangguh sehingga 10 April untuk serahan dokumen.