Jemaah menteri penuhi KPI, laksana tugas dengan integriti - JPM

KUALA LUMPUR - Barisan anggota Jemaah Menteri secara keseluruhan telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti serta memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan bagi setiap kementerian, menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM).JPM menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di portal Parlimen memaklumkan bahawa Kerajaan Madani tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran integriti."Kerajaan percaya akauntabiliti bukan sekadar soal hukuman, sebaliknya melibatkan pembetulan, penambahbaikan berterusan dan tanggungjawab moral kepada rakyat."Justeru, budaya prestasi tinggi dan integriti akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap kementerian berfungsi secara efektif, cekap dan beramanah," menurut jawapan itu.Jawapan berkenaan diberikan bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kasim (PN-Arau) mengenai komitmen Perdana Menteri terhadap prinsip akauntabiliti Kabinet serta sama ada kegagalan prestasi kementerian akan disusuli tindakan tegas selaras dengan amalan tadbir urus yang baik dan kebertanggungjawaban kepada Parlimen serta rakyat.Menurut JPM, Kerajaan Madani menegaskan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap prinsip akauntabiliti Jemaah Menteri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, prinsip tanggungjawab bersama serta kebertanggungjawaban individu setiap menteri kepada Parlimen dan rakyat.JPM memaklumkan prinsip itu dilaksanakan menerusi pemantauan prestasi berasaskan KPI dan pelan strategik yang mengkehendaki setiap kementerian menetapkan sasaran jelas, terukur serta sejajar dengan Dasar Malaysia Madani dan Rancangan Malaysia Ke-12."Pencapaian dinilai secara berkala dan dipantau oleh agensi berkaitan seperti Unit Pantau Madani dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU)."Selain itu, pengukuhan tadbir urus dan integriti dilaksanakan menerusi Pelan Antirasuah Nasional (NACP), pemerkasaan Jabatan Audit Negara serta usaha memperkasa Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah," menurut JPM. - Bernama