Operasi gempur kedai tomyam tiada lesen, kotor

ALOR SETAR –Sebanyak 145 kompaun dan lima notis dikeluarkan dalam Ops Tomyam yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di kawasan seliannya pada minggu lalu sempena cuti hujung minggu dan cuti Tahun Baharu CinaDatuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya berkata, lima pegawai dan 20 anggota daripada Bahagian Penguatkuasa bersama Jabatan Kesihatan Persekitaran MBAS digerakkan bagi memeriksa premis sekitar kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan berkenaan.Menurutnya, sebanyak 145 kompaun dan lima notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk premis dan iklan tanpa lesen, tahap kebersihan yang tidak memuaskan selain kegagalan menyediakan kad suntikan tifoid serta sijil pengendali makanan."Hasil pemeriksaan ke atas 64 premis juga mendapati hanya 19 premis atau 29.7 peratus mempunyai lesen sah, manakala 45 premis lagi atau 70.3 peratus dikesan beroperasi tanpa lesen."MBAS memandang serius isu ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha restoran tomyam yang dilihat masih gagal mematuhi syarat ditetapkan," katanya pada Khamis.Jelas Abdul Gafar, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana premis yang ingkar, termasuk membawa kes ke mahkamah sekiranya perlu.Menurutnya, semua pengusaha premis makanan, khususnya restoran tomyam, perlu segera membuat permohonan lesen dengan MBAS bagi mengelakkan tindakan pendakwaan."Setiap pengusaha juga diwajibkan mematuhi sepenuhnya syarat lesen serta arahan pihak berkuasa tempatan," ujarnya.Dalam pada itu, MBAS turut memberi peringatan kepada pemilik gerai warga tempatan agar tidak menyalahgunakan lesen dengan menyewakan sepenuhnya premis kepada warga asing atau terlibat dalam aktiviti penipuan lesen yang dikenali sebagai konsep ‘Ali Baba’.Kata Abdul Gafar, bagi mengekang salah laku tersebut, MBAS akan bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia serta Pejabat Kesihatan Daerah bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan.Jelasnya, MBAS juga akan mengadakan perjumpaan bersama semua peniaga terlibat pada minggu hadapan sebagai langkah susulan dan peringatan agar isu sama tidak berulang.