EAIC dedah pelanggaran arahan di PUSPEN Serdang, syor tindakan tatatertib

PUTRAJAYA – Hasil siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati berlaku pelanggaran arahan berhubung larangan membawa masuk bahan terlarang ke dalam Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang oleh pegawai yang sedang bertugas.Menurut kenyataan EAIC, siasatan itu dijalankan susulan aduan terhadap Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membabitkan 47 klien pusat berkenaan yang disyaki positif dadah jenis methamphetamine."Siasatan dilaksanakan selaras dengan subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] bagi meneliti dakwaan dan mengenal pasti sekiranya wujud salah laku dalam kalangan pegawai terlibat," katanya.Menurutnya, hasil penelitian mendapati terdapat pegawai yang melanggar arahan berkaitan larangan membawa masuk bahan terlarang ke dalam premis PUSPEN ketika sedang bertugas."Sehubungan itu, EAIC memutuskan supaya hasil siasatan dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib AADK dengan syor agar tindakan tatatertib diambil terhadap pegawai terlibat di bawah Peraturan 38 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993]."Ia kerana ingkar perintah atau berkelakuan dengan apa-apa cara yang boleh ditafsirkan secara munasabah sebagai ingkar perintah seperti diperuntukkan di bawah Peraturan 4(2)(i) peraturan sama," katanya.Dalam masa sama, EAIC turut mengesyorkan agar satu laporan polis dibuat berhubung kejadian tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.Selain itu, beberapa langkah penambahbaikan turut dicadangkan termasuk pindaan terhadap Perintah Tetap Ketua Pengarah, pemberian latihan kepada pegawai penyiasat serta pindaan terhadap Sasaran Kerja Utama supaya proses flushing dilaksanakan dengan lebih kerap bagi mengelakkan kejadian berulang.EAIC juga menegaskan keperluan kawal selia yang lebih ketat bagi memastikan tiada bahan terlarang dibawa masuk ke PUSPEN pada masa hadapan serta integriti pengurusan pusat pemulihan sentiasa terpelihara.