RAUB - "Saya sudah kehilangan dua abang dan hari ini abang sulung pula meninggalkan kami."Demikian luahan Muhamad Yusrizuhairi Mat Dani, 27, adik kepada Allahyarham Mohd Alawi Muhammad, 56, yang terkorban selepas rumah sewa yang diduduki bersama keluarga di Kampung Pamah Kulat di sini musnah terbakar pada awal pagi Khamis.Katanya, lebih memilukan, abangnya itu pergi bersama isteri dan tiga anak perempuan serentak dalam keadaan amat menyayat hati.Dalam kebakaran kira-kira jam 3.30 pagi itu, isteri Mohd Alawi iaitu Zaleha Adam @ Ibrahim, 44, bersama tiga anak perempuan mereka, Ruby Adira Batrisya, 17; Ruby Adlina Banin, 14; dan Ruby Azyan Barizah, 10, turut maut.Muhamad Yusrizuhairi berkata, walaupun berat untuk menerima kenyataan itu, dia tetap reda kerana arwah abangnya dan keluarga 'pergi' pada bulan Ramadan yang mulia ini."Sudah tiada air mata untuk menangis, sedih mengenangkan nasib mereka yang pergi secara mengejut dan tragis dalam tragedi ini."Kini saya sudah tiada abang lagi, yang tinggal hanya dua kakak," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Raub di sini.Muhamad Yusrizuhairi berkata, arwah abangnya seorang yang baik, begitu juga dengan isteri dan anak-anaknya."Walaupun kami tinggal berasingan, sebelum ini arwah tetap mengambil berat tentang saya dan ibu. Boleh dikatakan dialah tempat kami bergantung," katanya yang tinggal bersama ibu di Kampung Jelu di sini.Anak bongsu daripada enam beradik itu berkata, arwah abangnya juga seorang yang peramah dan mudah mesra dengan semua orang walaupun baru dikenali."Itulah sikapnya selain seorang yang pemurah dan tidak lokek membantu keluarga," katanya.Ceritanya, abang dan kakak iparnya itu berniaga makanan sepanjang Ramadan ini dan dia selalu diberi juadah untuk berbuka secara percuma."Dia berniaga macam-macam ikut musim. Musim buah dia berniaga buah, bulan puasa dia berniaga makanan. Begitulah caranya menyara keluarga," ujarnya.Ditanya tentang perubahan sikap abangnya itu kebelakangan ini, dia berkata Mohd Alawi bersikap seperti biasa dan tiada sebarang perubahan.