SHAH ALAM - Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Lestari Ekonomi Aktivis Gig Digital Malaysia (LEAD) dan World Youth Foundation (WYF) dijangka dapat memperkasa kebajikan dan jaminan masa depan pekerja terutama belia dalam sektor gig di negara ini.LEAD Malaysia dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, kerjasama strategik itu menjadi pemangkin kepada pembinaan ekosistem sokongan yang lebih inklusif terutama dalam merangka pelan perancangan bagi meningkatkan kemahiran pekerja sektor berkenaan.Menurut kenyataan itu, lebih banyak inisiatif dijangka dapat dirancang serta dilaksanakan terutama bagi sesi libat urus dengan pelbagai agensi kerajaan mengenai dasar terutama sumber pakar kemahiran dari sektor swasta serta peluang peningkatan pendidikan melalui konsep mentor."Selain itu, antara fokus lain termasuk mengambil kira perkembangan pesat ekonomi gig yang menuntut satu kerangka perlindungan dan pembangunan yang lebih menyeluruh."Kerjasama ini memberi tumpuan khusus kepada usaha memperkasa pekerja gig di Malaysia termasuk pengamal media bebas, pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing supaya suara serta kepentingan mereka lebih tersusun dan mendapat perhatian hingga ke peringkat antarabangsa," katanya.Kenyataan itu berkata, pekerja gig bukan sekadar pelengkap kepada ekosistem ekonomi digital, sebaliknya menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi baharu negara."Justeru itu, aspek kebajikan, perlindungan sosial dan pembangunan kapasiti perlu diberi perhatian secara lebih berstruktur dan berterusan."Usaha ini akan diperkukuhkan lagi melalui suara belia antarabangsa hasil MoU dengan WYF," ujarnya.LEAD Malaysia berkata, jaringan global WYF dijangka membuka ruang lebih luas kepada belia sektor gig untuk berkongsi idea dan inovasi secara progresif."Akses kepada platform antarabangsa serta pertukaran kepakaran rentas negara diyakini mampu memperkukuh kerjasama strategik, memperluas peluang pembangunan kapasiti dan meningkatkan daya saing belia gig di peringkat global."Inisiatif ini juga berperanan sebagai jambatan untuk mengangkat suara dan aspirasi komuniti tempatan ke pentas antarabangsa secara lebih berimpak, sekali gus memastikan perspektif serta kepentingan belia Malaysia terus relevan dalam pembangunan ekonomi digital dan masa depan pekerjaan negara," katanya.Kenyataan itu berkata, MoU berkenaan turut menandakan permulaan kepada pelaksanaan pelbagai program berimpak tinggi dan platform dialog bersama pemegang taruh berkaitan bagi memastikan ekosistem gig yang lebih adil, selamat dan mampan.