KUALA LUMPUR - Pembangkang mencadangkan kerajaan tidak meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta RUU berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri.Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya pembangkang mengesyorkan kedua-dua draf akta berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk pindaan sewajarnya terlebih dahulu."RUU pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya bukan satu reformasi kepada undang-undang berkaitan, sebaliknya hanya dipindahkan daripada Peguam Negara kepada Pendakwa Raya."Kuasa ini bersifat mutlak atau absolute discretion, termasuk untuk memulakan, meneruskan atau menarik balik sesuatu pendakwaan. Inilah yang sekian lama menjadi kebimbangan."Melalui pindaan yang dicadangkan, ia hanya pemindahan kuasa secara salin dan tampal meskipun Perkara 145 dipinda dengan peruntukan sama dipindahkan hampir sepenuhnya kepada Pendakwa Raya," katanya ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen, di sini pada Khamis.Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut mendakwa, RUU mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri sehingga 10 tahun bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.Ini kerana jelasnya, ia menyentuh serta mengehadkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri.Menurutnya dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam beberapa perkara tertentu, termasuk pelantikan Perdana Menteri tanpa perlu terikat kepada nasihat mana-mana pihak."Perkara 43(2)(a) berbunyi Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri iaitu seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat."Tiada ada apa-apa syarat 10 tahun, 20 tahun, lima tahun., tidak ada. Jadi dengan membuat pindaan ini pada pandangan kami, ianya bercanggah dengan Perkara 40 prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan juga Perkara 43(2)(a) iaitu hak budi bicara untuk melantik Perdana Menteri siapa saja asal dia seorang Ahli Dewan Rakyat," tegasnya.