SHAH ALAM - Tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli adalah wajar sebagai langkah organisasi untuk mengekalkan disiplin dan struktur dalaman.Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq berkata, parti politik bukan pentas bebas tanpa tanggungjawab, ia ada peraturan dan lembaga disiplin.Menurutnya, oleh sebab itu sangat hairan apabila Rafizi perlu 'merengek' mengenai surat itu sedangkan saban hari beliau memilih untuk mengkritik parti dan menghentam Presiden secara terbuka di pentas podcast dan pelbagai platform media."Mengkritik itu hak tetapi apabila kritikan dibuat secara berterusan sehingga menyentuh kepimpinan tertinggi parti termasuk Presiden dan memberi gambaran negatif kepada umum seolah-olah parti ini bermasalah secara menyeluruh, maka adalah wajar organisasi mempertahankan disiplin dan struktur dalaman."Kita juga tidak lupa bagaimana Khairy Jamaluddin sebelum ini berdepan tindakan tegas apabila tindakannya dianggap melanggar disiplin parti UMNO."Dalam politik, setiap tindakan ada implikasi. Jangan terkejut apabila organisasi bertindak mengikut perlembagaannya sendiri," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.Sebelum ini, Rafizi mengesahkan menerima surat tunjuk sebab daripada PKR atas alasan beliau telah mengisytiharkan keluar parti.Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, surat berkenaan dikeluarkan susulan kenyataannya mengenai hasrat bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan atas tiket PKR.Tambah Muhammad Iman, surat tunjuk sebab bukan hukuman tetapi ruang untuk menjawab.Mengulas lanjut, beliau memberitahu, berhubung hasrat untuk bertanding atas tiket mana sekalipun pada pilihan raya akan datang, itu hak peribadi Rafizi.Jelasnya, janganlah digambarkan seolah-olah parti ini tidak pernah berjasa."Selain itu, jangan juga dilupakan bahawa perjuangan ini dibina oleh ribuan ahli dan pimpinan di pelbagai peringkat, bukan usaha seorang individu semata-mata."Parti ini lebih besar daripada mana-mana individu. Kalau benar mahu berbeza haluan, lakukan dengan tertib dan bermaruah."Tidak perlu mencipta naratif seolah-olah diri dizalimi hanya kerana organisasi melaksanakan tanggungjawab mempertahankan disiplin," ulasnya.