Atuk didakwa amang seksual cucu lelaki usia tiga tahun

SEREMBAN - Lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu lelaki tirinya yang berusia tiga tahun, tahun lalu.Tertuduh yang berusia 64 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang berusia tiga tahun ketika kejadian.Perbuatan berkenaan dilakukan antara jam 7 pagi hingga 10 pagi di sebuah rumah di Labu, Nilai, antara Oktober hingga November 2025.Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni memohon jaminan RM20,000 dengan tiga syarat tambahan dan mengesahkan tertuduh adalah datuk tiri kepada mangsa.Peguam, Mohd Hanif Hassan merayu anak guamnya diberi jaminan yang minimum kerana tertuduh mengalami sakit tulang belakang, asma, saraf kronik dan menghidap lumpuh yang ringan.Tambahnya, anak guamnya juga tidak bekerja dan bergantung harap dengan sumbangan anak, namun menanggung isteri yang menghidap penyakit tiga serangkai, seorang anak dan ibu yang sudah uzur berusia 80-an.Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM16,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu saksi dan melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Mac.