Himpunan Tangkap Azam Baki terus desak penubuhan RCI

PUTRAJAYA - Tekanan agar Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki semakin memuncak apabila sekumpulan rakyat hadir ke Perhimpunan Tangkap Azam Baki yang berlangsung di hadapan Ibu Pejabat SPRM pada pagi Jumaat,Ahli perniagaan sensasi, Albert Tei yang turut hadir menegaskan, penubuhan badan siasatan bebas itu perlu dilaksanakan segera."Saya tidak mahu menggesa, saya tidak mahu dengar lagi mencadangkan. Kita mahu RCI ditubuhkan," katanya kepada media ketika menyertai perhimpunan itu.Jelas beliau, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dilihat sebagai tokoh yang mempunyai kredibiliti mengetuai RCI ke atas Azam bagi memastikan siasatan dijalankan secara bebas dan berintegriti."Kita memohon Tun Tengku Maimun mengetuai jawatankuasa ini untuk siasat Azam Baki."Kita tidak mahu jawatankuasa khas abang adik," katanya merujuk kepada kebimbangannya terhadap potensi konflik kepentingan dalam mekanisme siasatan sedia ada."Kita menolak ini jawatankuasa khas abang adik," ujarnya.Dalam masa sama, Albert atau nama sebenarnya, Tei Jiann Cheing menggesa kerajaan mengambil tindakan pentadbiran sementara siasatan berlangsung, termasuk penggantungan tugas ke atas Azam bagi membantu proses siasatan.Katanya, prinsip kedaulatan undang-undang perlu ditegakkan tanpa pengecualian."Seperti amalan siasatan semua rakyat Malaysia. Tiada orang di atas undang-undang. Tiada orang ke bawah undang-undang," tegas beliau lagi.Terdahulu pihak polis mengadakan kawalan apabila lebih 50 individu mula berhimpun jam 9 pagi bagi menyuarakan bantahan terhadap pelbagai isu yang dikaitkan dengan Azam termasuklah mengenai dakwaan kewujudan mafia korporat oleh laporan media antarabangsa, Bloomberg.Sementara itu Yang Dipertua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad mencadangkan satu reformasi lebih menyeluruh terhadap struktur kepimpinan SPRM dengan mengusulkan supaya ketuanya dipilih secara langsung oleh rakyat.Menurut beliau, Ketua Pesuruhjaya SPRM di peringkat pusat wajar dipilih menerusi pilihan raya Parlimen, manakala ketua di peringkat negeri pula dipilih melalui Dewan Undangan Negeri (DUN).Katanya, kaedah tersebut mampu mengembalikan kuasa pelantikan kepada rakyat sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kuasa eksekutif."Yang lantik pengarah SPRM sepatutnya rakyat, bukan Perdana Menteri atau orang politik seperti hari ini," katanya.Zaharudin berkata, pemilihan melalui proses pilihan raya akan mewujudkan akauntabiliti langsung kepada pengundi serta membuka ruang semak dan imbang lebih kukuh antara peringkat pusat dan negeri.Tambahnya, langkah itu juga berpotensi meningkatkan keyakinan awam terhadap ketelusan siasatan melibatkan kes berprofil tinggi.Beliau berpandangan, pembaharuan struktur berkenaan perlu dipertimbangkan secara serius sekiranya kerajaan benar-benar komited melaksanakan transformasi institusi dalam usaha memperkukuh integriti serta memastikan agenda pembanterasan rasuah dilaksanakan tanpa campur tangan mana-mana pihak.