Bersatu Perak susun semula struktur jawatan peringkat bahagian

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak akan melaksanakan penyusunan semula terhadap beberapa bahagian yang terlibat dengan peletakan jawatan ketua dan ahli jawatankuasa.Ketua Penerangan Bersatu negeri, Datuk Azhar Anuar berkata, bahagian-bahagian yang terlibat telah dikenal pasti oleh pasukan petugas khas parti termasuklah bahagian yang ketuanya dipecat.Menurutnya, penyerahan watikah pelantikan barisan kepimpinan baharu bahagian akan dibuat dalam masa terdekat oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin."Setiap tindakan yang diambil akan dilaksanakan mengikut Perlembagaan parti," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ahli Bersatu yang terus setia serta tampil menggalas tanggungjawab bagi memperkukuh organisasi parti di peringkat bahagian.Terdahulu, media melaporkan Bersatu Bahagian Larut, Padang Rengas, Tapah dan Gopeng mengumumkan pembubaran masing-masing susulan kemelut dalaman yang melanda parti itu.Sementara itu, empat wakil rakyat terdiri daripada tiga Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersama empat ketua Bersatu bahagian dari Perak antara yang menerima surat pemecatan daripada parti berkenaan.Mereka ialah Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan dan ADUN Sungai Manik, merangkap Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.Bagi pimpinan bahagian pula, mereka yang dipecat termasuklah, Ketua Bersatu Teluk Intan, Kamaruddin Majid; Ketua Bahagian Bersatu Gopeng, Ahmad Ishak; Ketua Bersatu Bahagian Larut, Mohd Hassundi Hamzah dan Ketua Bersatu Bahagian Tapah, Mhod Yunus Mhd Yusop.