GEORGE TOWN - Persatuan Penduduk Kejiranan Gelugor, Pulau Pinang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan isu tanah kerajaan di sebuah lot di Bandar Gelugor di sini yang disyaki melibatkan salah guna kuasa dan rasuah.Ahli Jawatankuasa Penduduk Kejiranan Gelugor, Mohamad Yazid hussain berkata, pihaknya mengesyaki berlaku salah guna kuasa atau rasuah oleh pihak berkuasa negeri dalam pemberian tanah tersebut kepada sebuah syarikat untuk memajukannya sedangkan kegunaan asal tanah itu bagi menara telekomunikasi."Pihak penduduk pernah memohon kawasan tersebut untuk dijadikan ‘green area’ atau kawasan rekreasi tetapi tidak mendapat maklum balas daripada kerajaan negeri."Persatuan memohon pihak SPRM menjalankan siasatan terperinci untuk melihat sama ada berlaku salah guna kuasa atau rasuah dalam pemberian tanah tersebut kepada syarikat terbabit," katanya selepas membuat laporan di SPRM Pulau Pinang di sini pada Jumaat.Tambahnya, maklumat ini berdasarkan andaian disebabkan penduduk di kejiranan telah menerima notis 'survey' daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membangunkan tanah tersebut.Sementara itu, Sinar Harian sedang mendapatkan maklum balas SPRM Pulau Pinang berkenaan dakwaan terbabit.