KLANG – Seorang lelaki yang mendera anak kekasihnya berusia tiga tahun, menggunakan kayu, penyangkut baju, tali pinggang, malah menenggelamkan kepala dalam baldi hingga maut, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada pada Jumaat.Hakim, Norliza Othman menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaaan S Davandakumar, 32, bersifat penafian kosong semata-mata.Semasa membaca keputusan di akhir kes pembelaan, Norliza berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.Menurutnya, mahkamah melihat sendiri laporan bedah siasat yang menunjukkan sekujur tubuh kanak-kanak lelaki yang kecil dan kurus."Anak kecil tersebut dipukul dengan kejam oleh tertuduh, menggunakan semua barang tersebut."Mangsa yang langsung tidak boleh melawan itu kemudiannya direndam dalam air dan jasad kecil itu akhirnya diseret ke bilik lalu dibelasah sehingga tidak bernyawa," katanya.Susulan itu beliau berkata, tiada hukuman lain yang lebih setimpal melainkan hukuman gantung di leher hingga mati.Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad memohon tertuduh dikenakan hukuman mati.Menurutnya, lelaki itu melakukan kesalahan yang keji kerana mendera kanak-kanak malang tersebut tanpa belas kasihan, sedangkan dia hanya berusia tiga tahun."Tertuduh memukul mangsa menggunakan pelbagai senjata termasuk menumbuk dan menendang si mati selama tiga hari berturut-turut."Bukan itu sahaja, dia bertindak dengan menyelamkan kepala mangsa sehingga hampir lemas," katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Maryam Jamielah Ab Manaff.Selepas si mati kelihatan lemah, beliau berkata, tertuduh mencekik dan menggigit leher serta tangan sehingga mangsa tidak bergerak.Katanya, hanya selepas kanak-kanak itu tidak bergerak, barulah tertuduh berhenti memukul mangsa di hadapan mata ibu kandung si mati sendiri."Walaupun si mati bukan darah dagingnya, namun dia seharusnya melindungi dan menjaga mangsa dengan penuh kasih sayang kerana dia masih kecil dan memerlukan perlindungan dari orang dewasa."Kesalahannya amat keji dan sukar untuk dimaafkan kerana mengambil nyawa kanak-kanak yang tidak berdosa," katanya yang menambah, tertuduh mempunyai rekod sabitan lampau bagi kesalahan (ugutan) di bawah seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2015 dan dadah tahun 2021.Bagaimanapun, peguam, Zamri Ibrahim yang mewakili tertuduh berkata, lelaki itu yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik, mengaku menyesal atas perbuatan yang dilakukan."Dia yang masih bujang juga berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama," katanya.Pada 5 Januari 2022, tertuduh didakwa menyebabkan kematian K Nithish di sebuah rumah di Jalan Hulubalang, Taman Sentosa di sini pada 24 Disember 2021.Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.