KUANTAN - Seorang operator kilang didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membenarkan orang lain menggunakan akaun bank miliknya, Mac tahun lepas.Hakim Sazlina Safie juga memerintahkan Chong Chin Jong, 33, dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.Chin Jong yang masih bujang didakwa membenarkan orang lain mempunyai kawalan terhadap akaun banknya di sebuah rumah di Lorong Seri Teruntum 21, di sini pada jam 10.15 malam 12 Mac hingga jam 10.42 pagi 13 Mac 2025.Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 424B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Izzati Wan Mohammad Zahari manakala Chong diwakili peguam Mohd Shuhairil Ziqrul Sapi.Berdasarkan fakta kes, seorang individu telah melakukan dua transaksi pemindahan wang ke akaun Chin Jong berjumlah RM195,000 pada 12 dan 13 Mac 2025 selepas berminat menyertai pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan di Facebook.Individu itu kemudiannya menyedari ditipu selepas dipujuk untuk menambah pelaburan dan diberikan pelbagai alasan semasa mahu mendapatkan semula wangnya. - Bernama