Penuntut UUM maut kemalangan dalam perjalanan solat tarawih

ALOR SETAR – Hasrat seorang penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk menunaikan solat sunat tarawih tidak kesampaian apabila maut dalam kemalangan jalan raya di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Khamis.Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Muhammad Amiruddin Musa, 23, disahkan meninggal dunia selepas terlibat nahas ketika dalam perjalanan pulang dari kerja sambilan sempena cuti semester.Allahyarham yang merupakan penuntut Semester 5 Program Pengurusan Perniagaan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) difahamkan bergegas ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat tarawih sebelum tragedi berlaku.Jenazah Allahyarham dihantar ke hospital bagi proses bedah siasat pada jam 11 pagi sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Seri Sinai, Segambut Dalam, Kuala Lumpur.Allahyarham yang menetap di Inapan Siswa (Inasis) Bank Islam di Sintok merupakan anak daripada keluarga kategori B40 dan dibesarkan oleh ayah tiri yang bekerja sebagai buruh binaan.Ibunya pula dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung tiga tahun lalu.Di sebalik kekangan hidup, arwah tetap cekal meneruskan pengajian dan bekerja sambilan bagi menampung perbelanjaan diri serta membantu keluarga.Di kampus, Allahyarham dikenali sebagai mahasiswa yang ceria, petah berbicara dan aktif dalam pelbagai program pembangunan pelajar.Minatnya dalam bidang pengacaraan turut menyerlahkan bakat kepimpinan dan keyakinan dirinya.Naib Canselor UUM, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed menziarahi keluarga Allahyarham serta menyampaikan sumbangan sebagai tanda solidariti warga universiti terhadap keluarga yang ditinggalkan.Beliau menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada universiti kerana arwah merupakan mahasiswa berpotensi dan mempunyai masa depan cerah.Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Ram Al Jaffri Saad.