KOTA BHARU – Parti Keadilan Rakyat (PKR) memilih untuk tidak bertindak secara terburu-buru terhadap bekas Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli susulan kenyataannya mahu bertanding tanpa menggunakan tiket parti itu sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, prinsip keadilan perlu diberikan kepada Rafizi apabila parti telah mengemukakan surat tunjuk sebab bertarikh 23 Februari lalu dan memberi tempoh lima hari untuk beliau menjawab."Kita tidak akan mengambil tindakan terburu-buru. PKR mahu mendengar penjelasan beliau terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat."Sebarang kenyataan rasmi hanya akan dikeluarkan selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada 1 Mac ini. Setakat ini beliau masih belum memberikan maklum balas terhadap surat yang dihantar," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) Peringkat Zon Timur di pekarangan Mydin Mall Tunjung di sini pada Jumaat.Mengulas lanjut, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menegaskan kenyataan Rafizi itu didapati bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.1(c) Perlembagaan parti, iaitu perlucutan keanggotaan berlaku melalui pengisytiharan ahli itu sendiri bahawa beliau keluar daripada parti.Sinar Harian pada Khamis melaporkan Rafizi mengesahkan menerima surat tunjuk sebab daripada PKR atas alasan beliau telah mengisytiharkan keluar parti.Menurut bekas Menteri Ekonomi itu, surat berkenaan dikeluarkan susulan kenyataannya mengenai hasrat bertanding pada PRU16 bukan atas tiket PKR.