Debaran menunggu pengumuman dividen KWSP

PENGUMUMAN kadar dividen bagi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun kewangan 2025 hari ini pastinya dinanti-nantikan jutaan pencarum, terutama dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar.Berdasarkan perkembangan semasa, ramai menjangkakan kadar dividen kali ini berada di antara 5.5 peratus hingga 6.3 peratus, hampir setanding atau sedikit lebih baik berbanding tahun lalu.Meskipun sepanjang tahun lalu keadaan ekonomi global agak tidak menentu, prestasi pelaburan KWSP dilihat masih stabil, khususnya dengan pemulihan pasaran pada hujung tahun.Dalam masa sama, pendekatan KWSP yang tidak bergantung kepada satu jenis pelaburan sahaja membantu mengekalkan kestabilan pulangan.Bagi pencarum, apa yang lebih penting bukanlah angka yang terlalu tinggi, tetapi konsistensi.Dalam masa yang sama, rata-rata pencarum di media sosial menaruh harapan agar wang dividen tersebut dikreditkan sepenuhnya ke dalam Akaun 3 (Akaun Fleksibel) yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.Permintaan itu mempunyai rasional tersendiri memandangkan ramai ketua keluarga memerlukan tunai tambahan bagi menampung persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.Perkara sama pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang melihat tindakan itu akan meringankan beban pencarum yang terkesan dengan tekanan kos sara hidup.Malah menurutnya, ia penting bagi membantu pencarum yang sangat memerlukan wang ketika menjalani ibadah puasa dan membuat persiapan perayaan.Namun memetik pandangan daripada penganalisis ekonomi Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ida Md Yasin, cadangan menyalurkan 100 peratus dividen ke Akaun Fleksibel berpotensi menjejaskan kecukupan simpanan persaraan majoriti pencarum.Pengumuman rasmi hari ini akan menentukan sama ada ramalan ini tepat atau sebaliknya, di samping bakal menjadi penanda aras keyakinan pencarum terhadap pengurusan dana mereka.