IPOH - Umat Islam dinasihatkan tidak membuat spekulasi awal berhubung 1 Syawal dan menunggu pengumuman rasmi pihak berautoriti.Jabatan Mufti Negeri Perak dalam kenyataan menasihatkan masyarakat bertenang serta memahami bahawa perbezaan daripada jangkaan adalah perkara yang boleh berlaku dalam disiplin falak."Takwim Hijrah yang diedarkan kepada umum disusun berdasarkan data hisab sebagai panduan perancangan tahunan."Walau bagaimanapun, penetapan rasmi 1 Syawal adalah tertakluk kepada proses rukyah hilal pada petang 29 Ramadan dan pengisytiharan pihak berautoriti serta sebarang perbezaan antara jangkaan takwim dan keputusan rasmi bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam sistem penentuan awal bulan Islam," menurut kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi jabatan itu.Menurut kenyataan tersebut, Malaysia mengamalkan pendekatan rukyah dan hisab secara bersepadu, secara prinsip falak apabila hilal (anak bulan) berada di atas ufuk ketika matahari terbenam, ia mempunyai potensi untuk dilihat.Bagaimanapun, dalam konteks di Malaysia tahap kebolehlihatan hilal bergantung kepada beberapa parameter teknikal seperti ketinggian hilal (altitud) dan jarak antara bulan dan matahari (elongasi)."Hilal yang terlalu rendah atau hampir dengan ufuk mempunyai potensi kenampakan yang sangat lemah walaupun secara teorinya ia telah wujud. Oleh itu, kewujudan hilal di atas ufuk tidak semestinya menjamin kenampakan secara fizikal," menurut kenyataan itu.Selain itu, Jabatan Mufti Negeri Perak memaklumkan keadaan cuaca seperti awan tebal, jerebu atau gangguan atmosfera adalah cabaran utama dalam proses cerapan.Menurut jabatan itu, walaupun secara hisab hilal dijangka mempunyai potensi untuk dilihat walaupun tidak memenuhi kriteria, faktor cuaca boleh menghalang penampakan sebenar."Sebaliknya, dalam keadaan atmosfera yang sangat baik dan ia merupakan satu perkara yang jarang berlaku di Malaysia, hilal kadangkala berjaya dicerap. Ini menunjukkan keputusan penetapan tidak hanya bergantung kepada data kiraan tetapi juga realiti cerapan di lapangan," menurut kenyataan itu.Kenyataan itu turut menjelaskan, parameter hilal setiap tahun adalah berbeza dan pada tahun ini kedudukan hilal Syawal didapati lebih rendah dan lebih sukar untuk dicerap berbanding 2022, maka secara teknikal tahap kebolehlihatannya juga adalah lebih sukar.Namun, keputusan rasmi tetap bergantung kepada dapatan cerapan sebenar, proses pengesahan yang ditetapkan dan pengisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.Jabatan Mufti Negeri Perak juga menggalakkan agar persiapan Aidilfitri dibuat secara terancang dan lebih awal, demi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir.Tular di media sosial, kebimbangan masyarakat bahawa 1 Syawal pada tahun ini akan jatuh pada 20 Mac (Jumaat) berbanding jangkaan pada 21 Mac (Sabtu).Ia bakal mengulangi situasi pada 2022 apabila hari pertama Aidilfitri disambut secara ‘terkejut’ apabila jatuh sehari awal daripada jangkaan. - Bernama