Warga emas rentung, rakan sempat lari selamatkan diri

RAUB – Seorang warga emas maut manakala rakannya sempat menyelamatkan diri selepas berlaku kebakaran di sebuah bengkel motosikal yang turut dijadikan tempat memproses durian di Kampung Bukit Koman di sini pada Jumaat malam.Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam itu, mangsa, Nadarajan Krishnsamy, 75, yang tidak bekerja ditemukan meninggal dunia selepas premis berkenaan musnah.Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, siasatan awal mendapati dua lelaki tersebut berada di dalam premis berkenaan ketika api mula marak."Seorang lagi rakan mangsa dilaporkan berjaya menyelamatkan diri, namun mangsa gagal keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pihak bomba selepas api berjaya dipadamkan sepenuhnya."Premis itu beroperasi sebagai bengkel motosikal dan dijadikan tempat memproses durian pada waktu siang sahaja," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.Mohd Shahril berkata, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub serta enam anggota dari BBP Bentong bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi bagi operasi pemadaman.Beliau menambah, pihak bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadamkan keseluruhan kebakaran sebelum menemukan mayat mangsa."Mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raub untuk bedah siasat dan punca sebenar kebakaran masih dalam siasatan pasukan forensik bomba," jelasnya.Insiden berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Fadzli Mohd Kamal yang hadir meninjau lokasi kejadian malam Jumaat.Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Mohd Razam Taja Rahim dilapor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran di Kampung Bukit Koman pada jam 7.39 malam.Menurutnya, pasukan bomba mendapati sebuah kedai motosikal berkeluasan 40x20 kaki persegi musnah sepenuhnya dan seorang lelaki terperangkap dan meninggal dunia di dalam premis itu.Kebakaran turut memusnahkan lima motosikal dan sebuah kenderaan pelbagai permukaan (ATV) yang berada di dalam kedai.