JOHOR BAHRU - Struktur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di peringkat bahagian terutama selepas 11 ketua bahagiannya meletak jawatan baru-baru ini akan diperkemas dan diperkukuhkan semula.Setiausaha Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu Johor, Samsudin Ismail berkata, langkah segera akan diambil untuk menyusun struktur organisasi di beberapa bahagian yang dikenal pasti bermasalah."Langkah ini khususnya bagi memperbaiki kelemahan pentadbiran, perpecahan dalaman serta tindakan yang menjejaskan kesatuan parti di peringkat akar umbi."Tindakan itu sejajar dengan perkembangan semasa parti di peringkat Pusat termasuk tindakan disiplin terhadap Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin demi menjaga kestabilan, disiplin serta hala tuju perjuangan parti," katanya dalam kenyataan.Pada 18 Februari lalu, 11 Ketua Bahagian Bersatu Johor mengumumkan perletakan jawatan beramai-ramai kerana kecewa dengan konflik dalaman yang melanda parti itu.Jurucakap mereka, yang juga bekas Ketua Bersatu Bahagian Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid berkata, susulan keputusan berkenaan kepimpinan bahagian terbabit juga terbubar dan tidak lagi boleh menjalankan apa-apa kegiatan berkaitan parti.11 ketua bahagian itu membabitkan Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Ledang, Pontian, Labis, Pengerang, Johor Bahru, Tanjung Piai, Sri Gading dan Pulai.Mengulas lanjut, Samsudin berkata, BPN Johor juga akan bekerjasama rapat dengan kepimpinan Pusat bagi menilai kedudukan bahagian-bahagian terlibat.Ini termasuk pelantikan kepimpinan pemangku, penajaan baharu sekiranya perlu demi memastikan kesinambungan pentadbiran parti tidak terjejas.Samsudin berkata, hasrat Bersatu Johor untuk memperkemas struktur kepimpinan bahagian adalah bagi memastikan kembali stabil dan berfungsi dengan berkesan.Jelasnya, ini termasuk segala gerak kerja parti selari dengan keputusan serta pendirian pimpinan Pusat.Katanya, ini juga bagi memastikan kebajikan ahli dan kekuatan jentera pilihan raya terus terpelihara selain unsur perpecahan dan tindakan bersifat individu dapat dihentikan segera.Samsudin menegaskan keutamaan parti mengatasi kepentingan mana-mana individu dan setiap kepimpinan di semua peringkat wajib mematuhi Perlembagaan parti serta keputusan rasmi Majlis Pimpinan Tertinggi."Ahli-ahli parti di seluruh Johor diseru agar terus bertenang, memperkukuh saf perjuangan dan menumpukan usaha memperkasakan parti dalam menghadapi cabaran politik semasa serta persiapan menuju pilihan raya negeri (PRN) akan datang."Bersatu Johor kekal komited mempertahan perpaduan parti, memperkukuh organisasi dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara," ujarnya.