TAPAH – Seorang wanita tempatan bersama 11 lelaki warga Bangladesh ditahan dalam serbuan Op Taring Alpha 5 yang dijalankan di sebuah premis memproses sisa plastik tanpa kelulusan pihak berkuasa di Sungkai dekat sini pada Rabu.Operasi bersepadu itu dilaksanakan pada jam 10 pagi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Cawangan Risik Batalion 3, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Majlis Daerah Batang Padang serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah.Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, operasi intra dan inter agensi itu dijalankan hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pemprosesan plastik yang dipercayai beroperasi tanpa notifikasi dan kelulusan JAS.Menurutnya, serbuan tersebut membawa kepada penahanan seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 30-an yang dipercayai bertugas sebagai kerani serta 11 lelaki warga Bangladesh berumur antara 23 hingga 55 tahun yang disyaki pekerja premis berkenaan."Hasil pemeriksaan mendapati premis itu telah memasang dan mengendalikan beberapa fasiliti pemprosesan plastik tanpa kelulusan sah daripada pihak JAS."Pasukan serbuan turut menemui sejumlah besar longgokan plastik yang belum dan telah diproses," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.Beliau berkata, siasatan awal mendapati premis tersebut telah beroperasi lebih enam tahun dan memperoleh bekalan sisa plastik dari sekitar Lembah Klang sebelum diproses di lokasi berkenaan.Menurutnya, dalam operasi itu pihak berkuasa turut merampas pelbagai fasiliti serta mesin yang digunakan untuk memproses plastik buangan dan 11 unit telefon bimbit pelbagai jenama dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM5,012,000.Katanya, kes tersebut diserahkan kepada JAS Perak untuk siasatan di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.Sementara itu, 11 lelaki warga Bangladesh terbabit diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 39(b) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.Balveer Singh berkata, Briged Utara PGA tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pemprosesan plastik tanpa kelulusan sah kerana ia boleh mendatangkan risiko serius terhadap alam sekitar serta keselamatan awam."Usaha risikan dan penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang bentuk aktiviti yang menyalahi undang-undang."Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pencemaran alam sekitar atau pengendalian plastik tanpa lesen diminta menyalurkan maklumat kepada Briged Utara PGA untuk tindakan segera," katanya.