PUTRAJAYA - Pembayar cukai individu dan selain individu boleh mengemukakan Borang Nyata (BN) bagi Tahun Saraan 2025 dan Tahun Taksiran 2025 mulai esok (1 Mac), menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengemukaan BN itu melibatkan Borang E, BE, B, M, BT, MT, P, TF, TJ dan TP yang perlu dibuat secara mandatori menerusi perkhidmatan dalam talian atau e-Filing melalui portal MyTax."Pembayar cukai dan majikan boleh mengakses perkhidmatan ini secara terus ke portal MyTax https://mytax.hasil.gov.my atau melalui portal rasmi LHDN https://www.hasil.gov.my > MyTax > Perkhidmatan ezHasil > e-Filing. "Bagi ejen cukai, pengemukaan hendaklah menggunakan platform Tax Agent e-filing System (TAeF) yang boleh diakses melalui portal MyTax," menurut kenyataan itu.LHDN memaklumkan mulai 1 Mac 2026, Nombor Kad Pengenalan ditetapkan sebagai nombor pengenalan bagi pemegang MyKad, MyPR dan MyKAS untuk urusan percukaian, termasuk untuk mengakses ke portal MyTax.Bagi anggota tentera atau polis yang menggunakan nombor tentera atau polis sebagai pengenalan identiti sewaktu mengakses portal MyTax, individu terlibat perlu mendaftar semula Sijil Digital Individu menggunakan Nombor Kad Pengenalan awam."Pilih Nombor MyKad atau MyPR atau MyKAS dan input nombor kad pengenalan sewaktu log masuk dan ikut arahan selanjutnya di skrin," menurut kenyataan itu.Bagi memastikan kelancaran proses pengemukaan BN melalui e-filing, LHDN memaklumkan pembayar cukai hendaklah memastikan telah mempunyai peranan di MyTax yang berkaitan."Sebagai panduan pengemukaan e-Borang, pembayar cukai boleh merujuk kepada Program Memfail BN Bagi Tahun 2026 yang boleh dicapai dan dimuat turun melalui portal rasmi LHDN," menurut kenyataan itu.Menurut LHDN, kegagalan mengemukakan BN serta melaporkan pendapatan sebenar dalam tempoh yang dibenarkan boleh menyebabkan pembayar cukai dikenakan tindakan di bawah subseksyen 112(1) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967, yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM200 hingga RM20,000, atau penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.Sekiranya pembayar cukai lewat mengemukakan BN, menurut LHDN pengenaan penalti di bawah subseksyen 112(3) ACP 1967 adalah berdasarkan tempoh kelewatan selepas tarikh akhir pengemukaan BN, dengan penalti boleh dikenakan antara 15 hingga 45 peratus."Sehubungan dengan itu, bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada saat akhir, LHDN menyeru semua pembayar cukai membuat persediaan awal dengan memastikan semua rekod dan dokumen berkaitan percukaian termasuk penyata pendapatan, resit dan invois disemak serta dilengkapkan sebelum mengemukakan BN Tahun Taksiran 2025," menurut kenyataan itu. - Bernama