Kanak-kanak maut, ibu parah motosikal dirempuh kereta

KUALA KRAI - Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut manakala ibunya parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dipercayai dirempuh sebuah kereta di simpang tiga Kampung Chenia, Pahi di sini pada Sabtu.Dalam kejadian jam 10.10 pagi itu, kanak-kanak berkenaan maut ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP).Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati semasa kejadian kereta terbabit dalam perjalanan dari Pasir Puteh menghala ke Dabong."Motosikal yang dinaiki dua beranak itu pula dari arah Kampung Chenis menghala ke jalan utama. Setiba di lokasi, motosikal tersebut dipercayai keluar dari simpang dan menyebabkan berlakunya pelanggaran dengan kereta terbabit," katanya dalam satu kenyataan.Menurut beliau, kemalangan tersebut menyebabkan dua beranak itu mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Sultan Ismail Petra untuk mendapatkan rawatan.Katanya, ibu kepada kanak-kanak terbabit kini sedang menerima rawatan di hospital itu akibat kecederaan parah.Mazlan berkata kanak-kanak terbabit disahkan meninggal dunia ketika sedang mendapatkan rawatan."Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987."Siasatan terperinci akan dijalankan dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi talian 09-9666222," katanya.