Pemburu maut jatuh pokok, bomba harung 3km usung mayat

KOTA BELUD - Seorang lelaki maut selepas dipercayai terjatuh dari pokok ketika memburu dalam kejadian di kawasan hutan Sapoda di sini, pada malam Sabtu.Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 44 tahun dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan bagi bantuan mengambil mangsa yang tidak sedarkan diri pada jam 7.45 malam."Menurut maklumat, terdapat seorang mangsa tidak sedarkan diri akibat terjatuh dari pokok ketika memburu bersama rakannya."Rakan mangsa keluar dari kawasan hutan untuk menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Menurutnya, seramai lima anggota digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 39 kilometer dari BBP Kota Belud."Jentera tiba pada jam 8.25 malam, namun anggota berdepan kesukaran apabila laluan ke lokasi tidak dapat dilalui kenderaan."Anggota bersama pasukan perubatan terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk sampai ke lokasi. Namun setibanya di lokasi, pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya.Beliau berkata, anggota bomba dengan bantuan ranger hutan kemudian membawa keluar mayat mangsa menggunakan pengusung dengan berjalan kaki keluar dari kawasan berkenaan."Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.56 malam," katanya.