DALAM kesejukan Ramadan di Osaka, Jepun, sebuah masjid sederhana menjadi tempat perlindungan rohani buat Muslim dari pelbagai pelosok dunia yang berhimpun dalam satu saf meskipun berbeza bahasa, budaya dan warna kulit.Di negara yang Islamnya minoriti, masjid bukan sekadar tempat ibadah, sebaliknya ruang penyatuan ummah untuk berkongsi rindu terhadap suasana kehidupan Islam yang lebih subur seperti di Malaysia.Bagi Muhammad Hanif Zakaria, 25, pengalaman mengimamkan solat tarawih di bumi asing membuka mata tentang betapa bertuahnya umat Islam di Malaysia yang menikmati kebebasan beragama dan kemudahan masjid dengan sokongan masyarakat majoriti Muslim.Penuntut tahun akhir Program Pengajian Qiraat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu berkata, suasana Ramadan di Jepun jauh berbeza kerana kehadiran Muslim tempatan amat kecil. Kebanyakan masjid di Osaka diimarahkan warga asing seperti Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka, Uzbekistan dan Indonesia, manakala Muslim tempatan Jepun boleh dibilang dengan jari."Walaupun berbeza bangsa dan bahasa, kami semua disatukan oleh satu akidah. Itu antara pengalaman paling menyentuh hati sepanjang berada di sana," katanya kepada Sinar Ahad.Muhammad Hanif merupakan antara 11 penuntut USIM yang mengikuti program imam tarawih di Osaka melalui latihan industri dan program mobiliti antarabangsa.Tiga penuntut termasuk dia menjalani latihan industri selama kira-kira 38 hari, manakala selebihnya menyertai program mobiliti sebagai sebahagian usaha pengantarabangsaan universiti. Program itu kohort ketiga penghantaran penuntut USIM ke luar negara selepas Jepun dan New Zealand pada tahun-tahun sebelumnya.Muhammad Hanif ditugaskan menjadi imam tarawih di Masjid Osaka Islamic Centre bersama Muhammad Fawzan Mohammad Najib. Menurutnya, cabaran utama bukan sahaja perbezaan budaya tetapi juga cuaca yang amat sejuk."Dalam suhu sekitar 5 hingga 10 darjah Celcius, nak bangun pagi dan berjalan ke masjid memang mencabar. Itu antara ujian terbesar sepanjang Ramadan di sana," katanya yang pernah mengikuti program sama di Auckland, New Zealand tahun lalu.Selain faktor cuaca, perbezaan amalan tarawih turut menjadi cabaran apabila kebanyakan masjid di Jepun menunaikan lapan rakaat dengan bacaan satu juzuk al-Quran setiap malam, menyebabkan tempoh berdiri lebih panjang berbanding di Malaysia."Di Malaysia, pergerakan lebih banyak kerana rakaat lebih banyak. Di sana, lapan rakaat sahaja tetapi satu juzuk, jadi qiam itu sangat panjang," jelas anak kelahiran Peringat, Kelantan itu.Walaupun jumlah jemaah kecil dan suasana kurang meriah, dia memuji kesungguhan mereka yang kekal sehingga solat selesai tanpa meninggalkan saf."Kalau di Malaysia, lapan rakaat pun sudah ada yang pulang. Di sana walaupun panjang, mereka akan kekal sampai habis," ujarnya.Selepas solat, Muhammad Hanif turut menyampaikan tazkirah ringkas kira-kira 10 minit bagi memberi motivasi kepada jemaah sepanjang Ramadan.Bagi Azam Hilmi Nurazmallail, 24, yang ditugaskan di Masjid Annur, Niigata, masyarakat Jepun menunjukkan minat mengenali Islam walaupun mengambil masa untuk menerima dan mengamalkannya.Menurut anak kelahiran Kulai, Johor itu, pendekatan dakwah paling berkesan di negara minoriti Muslim ialah melalui contoh teladan seperti menjaga kebersihan, menepati masa dan berdisiplin — nilai yang selari dengan ajaran Islam serta telah lama diamalkan masyarakat Jepun."Bila mereka lihat Muslim juga menjaga kebersihan dan disiplin, mereka lebih tertarik untuk mendekati Islam," ujarnya.Azam mengakui pengalaman itu mengubah persepsinya terhadap peranan imam yang bukan sekadar memimpin solat tetapi juga menjadi pendamping komuniti dan rujukan masyarakat. Dia percaya imam dari Malaysia mudah diterima kerana keupayaan menyesuaikan diri dengan pelbagai budaya serta bacaan al-Quran yang baik.Apabila pulang ke tanah air, Azam berharap dapat membawa pulang nilai disiplin, ketepatan masa dan adab masyarakat Jepun yang selari dengan tuntutan Islam.Penuntut jadi duta kecil negaraPenugasan imam tarawih ke luar negara dilihat sebagai platform memperkenalkan Malaysia sebagai negara Islam sederhana dan menjadikan peserta ‘duta kecil’ di peringkat antarabangsa.Pengarah IQRA’ Centre for Ummah FPQS USIM, Dr Norazman Alias berkata, inisiatif tersebut memperkenalkan Islam wasatiyah yang meraikan kepelbagaian budaya tanpa menolak adat tempatan."Program ini secara tidak langsung memperkenalkan akhlak Islam sebagaimana diajarkan Nabi Muhammad SAW serta mempamerkan Islam yang sederhana dan inklusif kepada masyarakat setempat," katanya.Menurutnya, masyarakat Islam di Jepun sering menjadikan Malaysia sebagai rujukan kerana kejayaan negara mengharmonikan Islam dengan kehidupan moden. Program itu juga membantu memperkukuh imej Islam sebagai agama rahmat di negara minoriti Muslim.Tambah beliau, masyarakat Jepun telah lama mengamalkan nilai selari dengan Islam seperti kebersihan, disiplin dan ketepatan masa, sekali gus memudahkan usaha dakwah."Kita hanya perlu memperbetulkan kefahaman mereka tentang konsep ketuhanan dan nilai kebaikan dalam Islam, mudah-mudahan menjadi asbab hidayah," ujarnya.Program tahunan di Osaka yang kini memasuki tahun ketiga itu melibatkan 11 penuntut USIM bertugas sebagai imam tarawih dari 16 Februari hingga 25 Mac, selain menjalani latihan industri di beberapa masjid bersama imam jemputan dari Brunei Darussalam.