PENGENDALI Johor Darul Ta'zim (JDT), Xisco Munoz kini mengalihkan sepenuh tumpuan ke pentas Asia selepas skuad Harimau Selatan meneruskan dominasi domestik dengan kemenangan 4-0 ke atas Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya pada Jumaat malam.Kemenangan itu mengukuhkan laluan JDT untuk bergelar juara Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut, namun bagi Munoz cabaran sebenar menanti dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) apabila mereka bakal berdepan wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima pada aksi pertama pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) Rabu ini.Menurutnya, kejayaan mencatat kemenangan ke-18 dalam semua pertandingan domestik termasuk Piala Malaysia memberi suntikan moral terbaik, namun tahap persaingan di Asia menuntut dimensi berbeza daripada setiap pemain."Minggu ini jadual agak padat tetapi pasukan berjaya mengekalkan rentak dan intensiti."Itu penting sebagai persediaan menghadapi ACLE kerana setiap perlawanan di peringkat ini perlu dianggap seperti aksi final," katanya pada sidang media selepas aksi menentang Penang FC.Munoz menjelaskan, apabila saingan semakin menghampiri pusingan seterusnya, aspek teknikal dan disiplin taktikal menjadi penentu utama."Di Asia, kesilapan kecil boleh mengubah keputusan perlawanan. Kami perlu memahami setiap perincian dengan lebih mendalam."Jepun memiliki pemain berkualiti dan berdisiplin tinggi, jadi fokus selama 90 minit amat penting," katanya.Beliau turut memuji komitmen barisan pemain yang tidak membiarkan keletihan menjejaskan persembahan ketika berdepan Penang FC, sekali gus menyifatkan profesionalisme itu sebagai bekalan penting menjelang ujian getir di pentas benua.Bagi JDT, misi di laman Asia kini menjadi keutamaan dengan hasrat meneruskan kemaraan dan membuktikan keupayaan sebenar mereka di peringkat tertinggi rantau ini.