Dakwaan jatuhkan kerajaan: Polis jalankan siasatan selepas terima aduan - KDN

BACHOK - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan pihak polis menjalankan siasatan berhubung dakwaan wujud cubaan menjatuhkan kerajaan serta mengganggu kestabilan negara selepas menerima aduan.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagaimanapun menyifatkan siasatan masih terlalu awal dan enggan mengulas lanjut."Pada Jumaat lalu menerusi mesyuarat Jemaah Menteri keputusan yang diambil adalah apa sahaja aduan, polis dikehendaki memberi keutamaan untuk menjalankan siasatan."Dalam kes ini, ia bermula dengan ada pihak membuat aduan dan kita kena mulakan siasatan, namun masih terlalu awal," katanya kepada pemberita pada Majlis Bersahur bersama klien sempenaProgram Penerapan Nilai-nilai Murni di PUSPEN Bachok di sini pada Ahad.Menurut beliau, aduan itu menjadi asas kepada polis bagi menentukan hala tuju siasatan dan motif.Katanya, semua perkara tersebut perlu dilihat semua secara keseluruhan.Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan dengan agensi media antarabangsa.Mohd Khalid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara tersebut semalam dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman serta kes disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.Beliau berkata, siasatan berhubung kes itu masih diteruskan dan menasihati masyarakat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sementara siasatan dilengkapkan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.