Pusat hiburan 'elit' saji gadis pentas digempur

KUALA LUMPUR - Pusat hiburan berstatus elit di Kepong di sini yang menyajikan khidmat gadis pentas warga asing sebagai pelayan pelanggan digempur pada Jumaat.Serbuan Op Gegar di dua premis terbabit bermula jam 11 malam dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, bertindak atas aduan dan risikan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) selama dua minggu itu telah menahan 107 warga asing termasuk 93 wanita.Menurutnya, semakan mendapati mereka terdiri Thailand seramai 68 orang, Vietnam (18), Bangladesh (11), Laos (7) dan Indonesia (3) yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas sah untuk berada di negara ini."Pasukan operasi telah menyita beberapa barangan yang dipercayai digunakan bagi tujuan aktiviti premis termasuk cip bayaran, kalung, set komputer dan sistem kamera litar tertutup (CCTV)," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, risikan awal mendapati premis-premis berkenaan dikawal pengawal keselamatan, manakala wanita warga asing dikendalikan individu yang berperanan sebagai penyelaras atau 'mummy' bagi mengatur perkhidmatan melayan pelanggan dan persembahan pentas.Tambahnya, bayaran perkhidmatan dipercayai ditentukan berdasarkan sistem kad berwarna dengan kadar antara RM100 hingga RM1,314.Jelas Zakaria, kesemua warga asing terbabit dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963."Seramai tujuh warga tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan," ujarnya.Tegasnya, JIM tidak akan berkompromi dan akan meneruskan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [ATIPSOM]."Orang ramai dinasihatkan agar tidak terlibat atau bersekongkol dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang imigresen dan digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha penguatkuasaan perundangan imigresen secara menyeluruh," ujarnya.