Iran mungkin tarik diri dari Piala Dunia 2026

PRESIDEN Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj tampil menyuarakan pendirian pertubuhan itu berhubung konflik ketegangan membabitkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) yang tercetus.Bercakap menerusi stesen televisyen awam Iran, Mehdi turut menyentuh mengenai nasib pasukan kebangsaan negara itu yang telah melayakkan diri ke temasya Piala Dunia 2026.Berdasarkan jadual, skuad Iran sepatutnya mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan di AS, bermula dengan aksi menentang New Zealand pada 15 Jun di Los Angeles, diikuti perlawanan menentang Belgium pada 21 Jun di bandar yang sama.Perlawanan terakhir mereka dijadualkan menentang Mesir pada 26 Jun di Seattle."Dengan apa yang berlaku hari ini serta susulan serangan oleh Amerika Syarikat itu, amat sukar untuk kita meletakkan harapan terhadap (penyertaan) Piala Dunia."Bagaimanapun, pucuk pimpinan sukan yang memegang tanggungjawab untuk membuat keputusan muktamad mengenai perkara ini," kata beliau ketika mengulas mengenai status penyertaan Iran dalam kejohanan berprestij tersebut.Dalam perkembangan berkaitan, ketua badan induk bola sepak Iran itu turut mengesahkan bahawa saingan liga tempatan telah digantung berkuat kuasa serta-merta sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.