Gerakan ramal PRU16 tahun ini

IPOH - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berkemungkinan besar diadakan tahun ini berdasarkan beberapa perkembangan politik semasa.Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau berkata, antara petunjuk yang dilihat ialah pengumuman dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain usaha kerajaan mewujudkan situasi ‘feel good’ dalam kalangan rakyat.Selain itu katanya, kenyataan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengenai hasrat mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dan PRU secara serentak turut menguatkan lagi kemungkinan tersebut."Kalau kita lihat, ada PRN Melaka dan dimaklumkan PRN Johor juga akan diadakan tahun ini. Jika benar mahu dilaksanakan serentak, kemungkinan besar PRU juga diadakan tahun ini."Soal bulan berapa, itu kena tanya Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perayaan Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Parti Gerakan Ipoh, Kampung Simee di sini pada Ahad.Dominic berkata, setakat ini, Gerakan dan Perikatan Nasional (PN) telah mengadakan perbincangan bagi memastikan kerusi dan calon dapat dimuktamadkan lebih awal supaya individu yang dipilih dapat turun padang dan dikenali pengundi.Ujarnya, mereka tidak mahu lagi mengulangi kelemahan lalu dengan mengumumkan calon pada saat akhir."Kelemahan kita sebelum ini ialah umum calon dan kerusi pada saat akhir. Sekarang ini kita dapati pengundi pilih calon, bukan parti."Sebab itu kita mahu calon diumumkan lebih awal supaya rakyat boleh kenal mereka dan buat penilaian," katanya.Beliau turut menjelaskan bahawa Gerakan menetapkan sasaran untuk memberi tumpuan sekurang-kurangnya satu kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di setiap negeri pada PRU16 ini."Kita boleh bertanding lebih, tetapi dengan sumber yang terhad, kalau bertanding banyak tetapi kalah semua, tiada guna. Jadi kita kena fokus," katanya.