KOTA KINABALU - Mayat seorang lelaki ditemukan terapung di tepi Sungai Kalansanan, Kampung Kalansanan, Inanam, pada pagi Ahad.Penemuan mayat lelaki berusia 34 tahun itu disahkan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda.Menurutnya, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima panggilan telefon kira-kira jam 10.27 pagi daripada seorang kakitangan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK)."Kakitangan DBKK tersebut memaklumkan penemuan mayat dalam keadaan terapung di tepi sungai berhampiran jalan pintas ke Ujana Kingfisher."Sejurus menerima maklumat, pasukan polis yang berada berhampiran digerakkan ke lokasi kejadian."Siasatan awal mendapati mayat seorang lelaki berada kira-kira 30 meter dari jalan utama di tepi Sungai Kalansanan," katanya dalam kenyataan.Kasim berkata, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Kinabalu bersama Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menjalankan pemeriksaan di lokasi."Hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau tanda-tanda perbuatan jenayah pada tubuh si mati."Identiti si mati telah dikenal pasti sebagai seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun dan setakat ini, tiada unsur jenayah dikesan di tempat kejadian," katanya.Beliau berkata, mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk tujuan bedah siasat bagi menentukan punca kematian secara rasmi."Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis serta diminta menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak berkuasa," katanya.