KOTA BELUD - Lelaki yang sebelum ini dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari pokok ketika memburu di kawasan hutan di sini pada Sabtu, dipercayai maut akibat terkena tembakan.Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.17 malam hari yang sama.Menurutnya, maklumat awal yang diterima memaklumkan mangsa terjatuh dari pokok ketika menjalankan aktiviti memburu di Hutan Simpan Stesen Safoda, Ulu Kukut, dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri."Hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 44 tahun ditemui dalam keadaan terbaring kira-kira 5.2 kilometer dari Pejabat Ladang Safoda. "Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kecederaan pada bahagian kepala dan badan yang disyaki akibat kesan tembakan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk proses bedah siasat."Siasatan lanjut mendapati mangsa keluar memburu bersama seorang lelaki berusia 35 tahun pada awal pagi hari kejadian."Susulan itu, polis menahan lelaki berkenaan bagi membantu siasatan dan hasil temu bual awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.Shahrudin berkata, polis turut merampas selaras senapang jenis bakakuk serta beberapa barangan lain untuk tujuan pemeriksaan forensik dan analisis balistik."Permohonan reman telah dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan."Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pasukan bomba terpaksa meredah hutan dengan berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk memberikan bantuan kepada mangsa.Bagaimanapun, mangsa disahkan telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa menggunakan pengusung untuk keluar dari kawasan hutan tersebut.