ALEPS Ekiden 2026 himpun pelari, peminat sukan pemotoran di Litar Sepang

PENGANJURAN acara larian berpasukan berkonsepkan Jepun, ALEPS Ekiden 2026 menampilkan kelainan apabila ia dijadualkan berlangsung di Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada 20 Jun depan.Lebih istimewa, acara anjuran Alumni Look East Policy Society (ALEPS) itu akan diadakan bersempena dengan perlumbaan Super GT Malaysia sekali gus menyatukan elemen sukan larian, budaya dan sukan pemotoran (motorsport) bertaraf antarabangsa di satu lokasi.Presiden ALEPS, Isrami Ismail berkata, ALEPS Ekiden bukan sekadar acara sukan biasa, sebaliknya ia merupakan platform terbaik dalam memperkukuh nilai dan hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun."Sukan ini bukan tentang siapa paling pantas, tetapi bagaimana pasukan bergerak sebagai satu unit. Ia menekankan kerja berpasukan, disiplin dan tanggungjawab bersama iaitu nilai yang kami pelajari melalui pengalaman di Jepun untuk disumbangkan kepada masyarakat."Apabila pelari membawa 'tasuki' (selempang) di litar bertaraf dunia ini, ia melambangkan daya tahan dan ketepatan yang dikongsi antara sukan Ekiden dan sukan pemotoran. Ini adalah langkah mengangkat ALEPS Ekiden ke tahap lebih tinggi," katanya.Format larian Ekiden yang berasal dari Jepun itu memerlukan empat pelari untuk melengkapkan jarak 22 kilometer (km) secara bergilir-gilir, dengan menyerahkan tasuki sebagai simbol amanah dan kesinambungan perjuangan.Sebagai rekod, acara yang mula diperkenalkan pada 2024 ini terus mendapat tempat di hati peminat sukan larian tempatan apabila edisi 2025 di Shah Alam berjaya menarik penyertaan lebih 1,200 peserta.Menjanjikan pengalaman berbeza, edisi 2026 bakal memperkenalkan format larian malam bagi menawarkan suasana yang lebih selesa dan nyaman.Lebih menarik, setiap pelari yang mendaftar akan turut menerima dua tiket percuma untuk menyaksikan kehangatan perlumbaan Super GT Malaysia sepanjang tiga hari penganjurannya.Selain kategori berpasukan, pihak penganjur turut membuka kategori Solo Fun Run bagi memeriahkan acara.