36 tangkapan kes rasuah kumpulan pengurusan tertinggi penjawat awam

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merekodkan sebanyak 36 tangkapan melibatkan penjawat awam daripada Kumpulan Pengurusan Tertinggi sejak 2021 hingga 31 Januari tahun ini.Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 20 pertuduhan telah dikemukakan dengan nilai rasuah yang terlibat berjumlah RM22,004,505 melibatkan lapan kes yang telah dijatuh hukum."Berhubung perancangan kementerian bagi memastikan tadbir urus agensi terus berjalan dengan baik, khususnya apabila melibatkan aspek keselamatan negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melaksanakan beberapa langkah penting, antaranya melaksanakan dasar toleransi sifar terhadap rasuah dan salah laku, khususnya dalam agensi penguatkuasaan bagi memelihara integriti dan reputasi."Pendekatan ini melibatkan tindakan tegas, pemantauan disiplin dan peningkatan penggunaan teknologi seperti kamera badan untuk mencegah salah guna kuasa oleh pihak penguatkuasaan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.Beliau menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang yang ingin tahu statistik terkini kes rasuah melibatkan pegawai kanan kerajaan serta jumlah nilai rampasan dan perancangan KDN bagi memastikan proses tadbir urus agensi terlibat terus berjalan dengan baik.Shamsul Anuar berkata, tindakan tatatertib dan perundangan akan diambil secara tegas dengan berlandaskan undang-undang tanpa mengira pangkat atau kedudukan pegawai, sekiranya terdapat bukti kukuh demi memelihara integriti, imej serta reputasi kementerian.Katanya, KDN turut menyambut baik inisiatif terbaharu kerajaan melalui pengenalan Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) yang berperanan sebagai pelengkap kepada usaha sedia ada, bagi memperkukuh tadbir urus di semua jabatan dan agensi kerajaan."Pelaksanaan SPINE di semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat Persekutuan dan negeri sebagai satu mekanisme semakan kendiri bagi menilai tahap integriti, governans dan antirasuah organisasi sektor awam untuk mengenal pasti jurang penambahbaikan serta memperkukuh kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti penyampaian perkhidmatan awam," katanya. - Bernama