Istilah ‘melalak’ perlu difahami ikut konteks, jangan manipulasi - AMK

KUALA LUMPUR - Penggunaan istilah ‘melalak’ oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran media sosial berkaitan isu penghinaan terhadap al-Quran perlu difahami dalam konteks sebenar dan tidak dimanipulasi untuk kepentingan politik sempit, tegas Angkatan Muda Keadilan (AMK).Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, istilah itu merujuk kepada sikap segelintir pihak yang tergesa-gesa menuduh kerajaan kononnya gagal bertindak, sedangkan proses siasatan dan penguatkuasaan sedang dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.Katanya, kenyataan Perdana Menteri bukan serangan terhadap mana-mana individu atau kelompok, sebaliknya satu peringatan tegas bahawa tuduhan melulu, tohmahan tidak berasas dan permainan persepsi politik tidak terus mengeruhkan suasana serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi penguatkuasaan."Individu yang terlibat dalam perbuatan menghina al-Quran telah ditahan dan siasatan dijalankan secara menyeluruh oleh pihak berkuasa. Ini membuktikan kerajaan tidak berdiam diri dalam isu ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Beliau menegaskan Malaysia ialah sebuah negara hukum dan setiap tindakan mesti berpaksikan peruntukan undang-undang, bukan tekanan emosi, desakan politik atau tuntutan bersifat populis."Dalam isu melibatkan sensitiviti agama dan keharmonian antara kaum, tindakan tergesa-gesa tanpa proses sah bukan sahaja mencabul prinsip keadilan, malah berpotensi mencetuskan ketegangan lebih besar."Ketegasan mesti disertai kebijaksanaan, dan keadilan mesti ditegakkan melalui proses yang telus serta profesional," katanya.Sehubungan itu, AMK menolak naratif yang cuba menggambarkan kerajaan sebagai lemah atau tidak bertindak, sambil menegaskan kenyataan Perdana Menteri wajar difahami sebagai teguran terhadap budaya politik yang gemar membakar sentimen sebelum fakta lengkap diperoleh.Semalam, Perdana Menteri dilapor menggunakan perkataan itu bagi menyangkal dakwaan kononnya tiada tindakan diambil terhadap individu yang didakwa memijak al-Quran.Pada 25 Februari lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran. - Bernama