KUALA LUMPUR - Pindaan Perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, cadangan pindaan itu juga tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan terhadap kerajaan."Dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan, pelantikan Perdana Menteri bergantung pada kepercayaan majoriti Dewan Rakyat. Namun, Perlembagaan tidak menetapkan had tempoh jawatan tersebut, walaupun jawatan ini memegang peranan yang amat besar dalam pentadbiran negara," kata beliau.Perdana Menteri berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada Isnin.Justeru, Anwar berkata, pindaan itu dikemukakan untuk melengkapkan kerangka Perlembagaan sedia ada dengan satu mekanisme semak dan imbang tambahan yang bersifat institusi, bukan peribadi.Anwar berkata, pembentangan rang undang-undang itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Madani untuk memperkukuh institusi dan memartabatkan tatakelola negara.Beliau berkata, ia merupakan manifestasi komitmen yang telah dijanjikan kepada rakyat dan dilaksanakan melalui proses Perlembagaan serta Parlimen.Perdana Menteri berkata, cadangan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri bukan perkara baharu dan telah lama menjadi sebahagian daripada wacana reformasi institusi negara, sekali gus mencerminkan kesedaran bahawa demokrasi yang matang memerlukan pembaharuan berprinsip.Anwar berkata, kerajaan mengambil langkah menterjemahkan wacana berkenaan sebagai satu iltizam yang jelas untuk melaksanakan reformasi secara konsisten, bertanggungjawab dan berlandaskan Perlembagaan, setelah meneliti amalan terbaik antarabangsa serta keperluan kestabilan dan keyakinan rakyat."Dari sudut kerangka Perlembagaan, pengehadan tempoh jawatan merupakan satu mekanisme tadbir urus yang diiktiraf dalam demokrasi moden. Mekanisme ini membantu memastikan peralihan kepimpinan berlaku secara tertib, teratur dan berlandaskan undang-undang," katanya. - Bernama