SHAH ALAM - Polis masih menunggu laporan forensik digital berhubung kes kecurian membabitkan 12 anggota dan pegawai polis sehingga menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000 dalam bentuk mata wang kripto.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya juga masih menunggu arahan daripada Penasihat Undang-Undang Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kertas siasatan telah dirujuk untuk diteliti."Setakat ini semuanya masih di peringkat siasatan belum selesai lagi," katanya pada sidang akhbar kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kesemua mereka yang terlibat sedang direhatkan daripada tugas aktif selain siasatan sedang dilengkapkan termasuk merakam percakapan individu berkaitan, sebelum sebarang tindakan lanjut diputuskan.Dalam perkembangan lain, Shazeli berkata, pihaknya akan memanggil individu dikenali sebagai Arun Dorasamy susulan lapan laporan diterima daripada beberapa individu dan NGO berhubung isu kuil di Rawang, termasuk dakwaan ketidakpuasan hati terhadap kenyataan dibuatnya."Kita sedang menjalankan siasatan dan kes dirujuk sebagai ROR iaitu merujuk kepada kes awal melibatkan isu kuil tersebut," katanya. - Bernama