Salah guna kuasa beli tanah guna dana zakat: SPRM panggil 63 individu bantu siasatan

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang telah memanggil 63 individu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan seorang pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah dan penyalahgunaan dana zakat.Menurut sumber, kesemua individu berkenaan dipanggil secara berperingkat untuk dirakam keterangan susulan pembukaan kertas siasatan pada pertengahan Januari lalu."Siasatan turut dipergiatkan dengan semakan terhadap beberapa akaun yang disyaki mempunyai kaitan dengan unsur rasuah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.Kata sumber itu lagi, antara yang dipanggil termasuk Ahli Majlis Agama Islam Negeri, mufti, Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai kewangan, penasihat undang-undang, pegawai dan kakitangan Majlis Agama Islam Negeri.Selain itu, Ahli Lembaga Zakat dan pegawai serta kakitangan zakat negeri turut dipanggil bagi membantu siasatan.Sumber berkata, siasatan awal mendapati suspek utama yang merupakan pegawai kanan kerajaan negeri bersama seorang ahli Majlis Agama Islam Negeri dipercayai menggunakan kedudukan dan jawatan masing-masing untuk mencadangkan serta meluluskan pembelian tiga lot tanah bernilai kira-kira RM10 juta."Bagi satu lagi kes yang disiasat, suspek utama bersama Pengurus Besar Agihan Zakat negeri dipercayai menyalahgunakan dana zakat melalui Skim Inapan Kasih dan Bantuan Kewangan berjumlah kira-kira RM184,000."Dana tersebut digunakan bagi bayaran penyelesaian baki pinjaman perumahan seorang asnaf tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan oleh pihak zakat negeri," ujarnya.Pada hujung Januari lalu, SPRM Pulau Pinang membuka kertas siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan pegawai kanan kerajaan negeri dalam urusan pembelian tanah menggunakan dana zakat.Tindakan itu susulan pendedahan yang dibuat seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada penghujung tahun lalu.Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan siasatan berkenaan.Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana melibatkan dakwaan salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan.Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dilihat hadir ke Ibupejabat SPRM Pulau Pinang di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini pada pagi Isnin.Kehadiran beliau dipercayai bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna dana zakat yang dikaitkan dengannya.Kelihatan kenderaan jenis Proton X70 yang membawa beliau memasuki pekarangan pejabat agensi berkenaan kira-kira jam 9.48 pagi sebelum beliau melangkah masuk ke bangunan tersebut bersama seorang pembantu manakala seorang lagi pegawainya tiba tidak lama kemudian.