KAJANG – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan mengambil tindakan dalaman terhadap dua kakitangannya yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu berkaitan kes rasuah.Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tindakan itu selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993."Tindakan berkenaan akan dilaksanakan berdasarkan perkembangan dan hasil siasatan rasmi," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Ruslin berkata, AADK menyerahkan proses siasatan kepada SPRM dan komited untuk memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan tersebut."Penghargaan kepada SPRM di atas tindakan susulan yang diambil hasil daripada laporan AADK berhubung salah laku dan pelanggaran integriti kakitangan tersebut."AADK tidak sama sekali akan berkompromi mahu pun melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat dalam salah laku dan pelanggaran integriti yang boleh menjejaskan reputasi agensi serta perkhidmatan awam," katanya.Tambahnya, AADK memandang serius insiden berkenaan dan akan membuat penilaian serta menambah baik keberkesanan Prosedur Operasi Standard (SOP) di fasiliti agensi itu bagi menutup sebarang ruang yang boleh dimanipulasi oleh mana-mana pihak pada masa hadapan."AADK bertekad sepenuhnya untuk membanteras sebarang bentuk salah laku dan rasuah dalam kalangan warga kerja secara menyeluruh."Tindakan paling tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan yang terbukti terlibat dalam kes pelanggaran integriti dan berdepan tindakan perundangan serta boleh dibuang kerja sekiranya didapati bersalah," katanya.Pada Isnin, media melaporkan SPRM Terengganu mereman seorang penjawat awam wanita di sebuah pusat pemulihan dadah di negeri ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM6,000 sebagai balasan membawa masuk barang terlarang untuk penghuni pusat tersebut.Perintah reman enam hari hingga 7 Mac ini terhadap suspek dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu selepas menerima permohonan daripada SPRM.Menurut sumber, wanita berusia lingkungan 30-an itu ditahan bersama seorang lagi suspek lelaki yang juga penjawat awam dan bekerja di tempat yang sama kira-kira 12.30 tengah hari Ahad ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.Bagaimanapun, suspek lelaki yang berusia lewat 40-an telah dilepaskan dengan jaminan SPRM pada Isnin atas faktor kesihatan.Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek melakukan perbuatan tersebut secara berasingan antara September 2024 hingga Januari 2025 dengan meminta dan menerima wang rasuah daripada keluarga penghuni pusat pemulihan tersebut.