PUTRAJAYA - Fenomena kesan nyahhambatan dalam talian (online disinhibition effect) dikenal pasti sebagai antara faktor yang mendorong individu bertindak lebih berani dan ekstrem di alam maya sehingga mengundang implikasi besar terhadap diri serta masyarakat.Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, pengaruh media sosial tidak boleh diketepikan dalam memahami tingkah laku provokatif yang berlaku dalam ruang digital.Menurut beliau, situasi tersebut menjelaskan bagaimana individu cenderung bertindak lebih berani dan ekstrem di alam maya kerana tidak berdepan reaksi fizikal serta-merta."Jarak psikologi ini mengurangkan empati dan meningkatkan keberanian palsu," katanya kepada Sinar Harian.Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pelajar yang menghina kesucian Islam dengan memijak al-Quran dan membuat hantaran di laman sosial baru-baru ini.Tambahnya, media sosial pula beroperasi melalui sistem ganjaran segera yang boleh mempengaruhi tingkah laku pengguna."Kandungan sensasi atau provokatif sering menerima respons tinggi, lalu menjadi bentuk peneguhan (reinforcement) yang menggalakkan tindakan melampau demi mendapatkan validasi sosial," jelasnya.Dalam masa sama, Shazli menjelaskan bahawa faktor perkembangan usia juga relevan, khususnya dalam kalangan individu pada peringkat awal dewasa yang sedang melalui proses pembentukan identiti."Dalam fasa ini, ada yang memilih pendekatan provokatif sebagai simbol pemberontakan atau cara menonjolkan diri, namun tanpa kematangan regulasi emosi dan pertimbangan risiko yang kukuh, tindakan tersebut boleh berlaku tanpa memikirkan implikasi undang-undang, sosial serta agama yang sangat besar," katanya.Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah, mengesahkan pelajar universiti itu direman kerana melakukan perbuatan tersebut.Pelajar lelaki sebuah universiti di sini yang ditahan kerana memuat naik gambar memijak al-Quran dan hantaran menghina Rasulullah SAW melalui akaun Threads miliknya direman selama empat hari bermula Rabu hingga Sabtu ini bagi siasatan lanjut.Ashari berkata, penahanan pelajar berusia 21 tahun itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh bapanya pada awal pagi Rabu.Kes itu disiasat di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.