Muhyiddin desak Pas segera namakan Ketua Pembangkang baharu

PETALING JAYA- Pimpinan Pas perlu segera menamakan Ketua Pembangkang baharu menggantikan Datuk Seri Hamzah Zainudin memandangkan ia melibatkan imej dan maruah Perikatan Nasional (PN).Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Hamzah sudah tidak lagi menjadi ahli Bersatu dan PN kerana dipecat parti, sekali gus tidak berhak untuk terus memegang jawatan tersebut."Kalau di negara lain, orang tu dah keluar (undur diri) dah. Orang kata, 'obligation, since you are no longer a member, you have to go. Tapi dia tak lagi (lepas jawatan). Itu satu bab."Keduanya, dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang terakhir, saya mempengerusikan mesyuarat. Jadi, dalam tu kita bincang soal jawatan Ketua Pembangkang."Saya pun dah beritahu dan ahli majlis pun tahu bahawa Datuk Seri Hamzah tidak layak duduk di situ lagi pasal dia bukan ahli dan tempat tu harus dikosongkan dan diisi oleh wakil ahli Parlimen daripada Pas. Itu keputusan dan dipersetujukan," katanya dalam Wawancara Khas bersama media tempatan di Ibu Pejabat Bersatu, di sini pada Isnin.Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi PN bagaimanapun berkata, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyatakan mereka perlu sedikit masa untuk berbincang.Tambah Muhyiddin, mengikut prosesnya, Pas perlu buat keputusan ahli Parlimen yang sepatutnya menjadi Ketua Pembangkang dan memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, calon yang patut diambil untuk mengisi tempat Hamzah."Saya nak minta pertimbangan menerusi media ni supaya pimpinan Pas buat keputusan segera. Kalau tidak, ia akan menjejaskan imej Perikatan Nasional."Datuk Seri Hamzah sepatutnya rasa malu sebab tak ada locus standi, keabsahan tu boleh dipersoalkan."Jadi kalau tak ada keabsahan, tak ada lokus standi, tak boleh duduk di situ lagi. Tak sahlah duduk kat situ," tegas Muhyiddin.Jelasnya, sebelum ini Hamzah menjadi Ketua Pembangkang kerana dicalonkan parti dan beliau tidak lagi layak untuk berada di posisi tersebut."Maka kita cadangkan Pas kerana Pas parti yang mempunyai kerusi terbanyak, itu dah dipersetujukan. Jadi maknanya, kita serahkan pada Pas untuk buat keputusan segera."Tapi pasal ada yang menyatakan, Speaker kata setakat ini, Hamzah adalah Ketua Pembangkang. Memanglah kalau tak ada nama baru naik (cadangan), dia duduk kat situlah."Keduanya, kalau dia sedar bahawa dia tidak berhak duduk kat situ, harus diletak jawatan, berhenti, kosongkan kerusi. Beritahu pada Speaker, saya tidak jadi Ketua Pembangkang lagi. Ini isu yang seharusnya diselesaikan dalam tempoh segera," tambahnya.Ditanya sama ada pendiriannya bercanggah dengan sokongan 13 ahli Parlimen Bersatu untuk mengekalkan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang, Muhyiddin menyatakan ia hanyalah pandangan ahli Parlimen, bukan keputusan parti."Maksud saya, kita tak tanya semua ahli Parlimen pasal ini keputusan dasar parti, bukan ahli Parlimen. Ahli Parlimen harus terima sahaja pasal yang menamakan tu datang daripada parti."Parti dah bincang macam tu, Hamzah dah naik pun (sebelum ini), dah sah pun. Ada (kita) tanya dengan semua 70 ahli Parlimen lain setuju ke tidak, nak ambil angkat undi dan sebagainya? Tak ada," tegasnya.