SHAH ALAM - Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) 2026 dianjurkan sebagai platform menghargai sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara selain menjadi medan memperkukuh jaringan komuniti perniagaan tempatan.Ketua Pengarang Sinar Harian, Zamri Rambli berkata, program tersebut diwujudkan khusus untuk komuniti PMKS sebagai pengiktirafan terhadap peranan besar mereka yang menyumbang lebih 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia serta menyediakan peluang pekerjaan kepada jutaan rakyat.Menurut beliau, BISA Awards bukan sekadar majlis penyampaian anugerah, sebaliknya turut merangkumi pelbagai aktiviti jaringan perniagaan yang menghubungkan usahawan melalui sesi pertemuan bersama pengasas perniagaan serta penghasilan kandungan promosi."Sejak penganjuran pertama pada tahun 2023, kita telah melaksanakan pelbagai program lebih awal termasuk sesi pertemuan bersama pengasas dan ahli perniagaan serta penggambaran kandungan."Program ini menjadi platform jaringan yang menghimpunkan usahawan untuk bersama-sama berkongsi pengalaman selain memberi peluang kepada mereka memperkenalkan perniagaan masing-masing kepada rakyat Malaysia," katanya pada Isnin.Tambahnya, anugerah tersebut juga diharap mampu menjadi pembakar semangat kepada usahawan baharu serta generasi muda yang semakin cenderung menceburi bidang perniagaan."Anugerah ini juga boleh menjadi inspirasi kepada usahawan yang sedang meningkat naik untuk terus berkembang dalam industri masing-masing," ujarnya.Mengulas keunikan penganjuran tahun ini, Zamri berkata, BISA Awards 2026 tampil dengan pelbagai penambahbaikan hasil maklum balas yang diterima selepas penganjuran pertama pada tahun 2023.Beliau turut memaklumkan bahawa anugerah khas Tokoh Usahawan yang diperkenalkan sebelum ini akan terus dikekalkan bagi menghargai figura yang memberi impak besar kepada dunia perniagaan negara."Pada penganjuran terdahulu, anugerah khas tersebut telah diberikan kepada Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin, manakala penerima bagi edisi 2026 akan diumumkan pada majlis berkenaan," katanya.