Empat rumah terbakar, 23 penghuni nyaris maut

GEORGE TOWN – Seramai 23 penghuni nyaris maut apabila empat unit rumah setinggan satu tingkat di hadapan Flamingo Hotel by the Beach, Tanjung Tokong dekat sini musnah dalam kebakaran pada awal pagi Selasa.Dalam kejadian kira-kira jam 3.14 pagi itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan sebelum jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal tiba di lokasi pada jam 3.21 pagi.Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran melibatkan empat rumah setinggan Kelas C dengan anggaran kemusnahan keseluruhan sebanyak 80 peratus.Menurutnya, rumah pertama berkeluasan kira-kira 30 x 20 kaki persegi, kedua 30 x 40 kaki persegi, ketiga 20 x 30 kaki persegi dan keempat 30 x 40 kaki persegi."Kebakaran turut melibatkan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang musnah kira-kira 90 peratus."Pasukan bomba mengaplikasikan konsep RECEO dengan melakukan ‘size up’ lengkap memakai peralatan perlindungan diri sebelum menjalankan kaedah pemadaman secara ‘defensive’ dan ‘offensive’ selain membuat ‘fire break’ bagi menghalang kebakaran daripada merebak," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.42 pagi dan dipadam sepenuhnya kira-kira jam 6 pagi sebelum kerja-kerja ‘overhaul’ dijalankan."Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.42 pagi dan lokasi seterusnya diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut."Seramai 23 penghuni daripada empat rumah terbabit dilaporkan selamat. Di rumah pertama, terdapat lima penghuni terdiri daripada seorang lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan tiga kanak-kanak."Sementara bagi rumah kedua, ia dihuni 11 penghuni melibatkan dua lelaki dewasa, dua perempuan dewasa dan tujuh kanak-kanak. Rumah ketiga di alamat sama didiami dua dewasa manakala rumah ketiga menempatkan lima penghuni iaitu dua dewasa dan tiga kanak-kanak," jelasnya.John menambah, tiada mangsa dilaporkan cedera atau maut dalam kejadian tersebut."Operasi turut dibantu BBP Lebuh Pantai dan BBP Jalan Perak dengan kekuatan keseluruhan 26 anggota termasuk penyelia. Turut membantu di lokasi ialah pihak polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mont Erskine"Sementara itu, Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) JBPM turut memberikan khidmat nasihat kepada mangsa serta mengambil maklumat pemilik bagi membantu dan memudah cara keperluan seterusnya," ujarnya.